Datuk Zakaria Arshad akan meneruskan tugasnya di Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (GP/CEO) pada 16 Oktober ini, selepas diminta bercuti sejak 6 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pengarah FGV berkata, siasatan sudah dilakukan dengan proses peringkat dalaman sewajarnya. Ia konsisten dengan permintaan Menteri Kewangan (Diperbadankan) supaya proses siasatan dilaksanakan secara integriti, saksama dan menjamin tadbir urus korporat.

Katanya, penemuan daripada siasatan berkenaan dihantar kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) sejajar dengan Artikel 80 Memorandum and Articles of Association FGV dan kementerian itu mengambil masa untuk menyemak semula sebelum membuat keputusan.

“Selepas mengambil kira program transformasi semasa FGV dan komitmen serta jaminan GP/CEO untuk menyelesaikan hutang tertunggak Safitex Trading LLC, Kementerian Kewangan (Diperbadankan) mahu Zakaria kembali sebagai GP/CEO FGV,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid mengulangi komitmennya untuk memulih dan membawa syarikat ke tahap lebih tinggi, di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi pada masa ini.

“Keutamaan segera saya adalah untuk meningkatkan prestasi operasi dan kewangan perniagaan teras kami dan menjamin pertumbuhan mampan menuju ke hadapan.

“Sebagai salah satu syarikat perladangan sawit terbesar, FGV mesti mempunyai aspirasi untuk menjadi pemimpin industri dari segi produktiviti dan pulangan kewangan maka semua faktor yang menghalang kami daripada mencapai matlamat ini perlu ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata, ada keperluan supaya struktur pengurusan baharu mampu mengukuhkan organisasi itu menuju ke hadapan dan memberikan fokus yang lebih baik ke arah mencapai pelan strategik FGV.

Komposisi Lembaga Pengarah FGV juga akan ditingkatkan dengan pelantikan pakar berkaitan ke dalam Lembaga Pengarah.

Lembaga Pengarah FGV akan membuat pengumuman berkaitan pada masanya.

Pada 6 Jun, Zakaria dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan membabitkan isu tunggakan bayaran oleh Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP).

Zakaria berkata, beliau menerima surat ditandatangani bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memaklumkan beliau dilepaskan daripada semua jawatan dalam FGV dan anak syarikat serta merta.

Pada 3 Julai lalu, Lembaga Pengarah FGV memutuskan untuk merujuk kes itu kepada Panel Siasatan Dalaman. FGV berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai dan menimbang surat tunjuk sebab mereka berhubung isu berkaitan hutang tertunggak Safitex kepada DOP.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *