KANGAR, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa pentadbiran kerajaan sebelum ini menyalahgunakan slogan Islam dalam sistem pentabiran mereka.

Beliau berkata, perkataan atau slogan bercirikan Islam disalahgunakan oleh banyak pihak dalam kerajaan terdahulu bagi melindungi dan mengaburi mata rakyat akan salah tadbir serta penyelewengan kuasa dan harta.

“Umat Islam ramai yang terperangkap menerima ataupun tidak menganggap besar korupsi dan salah tadbir urus kerana mereka dikelirukan oleh kosmetik (tujuan mengaburi rakyat) yang berjenama Islam. Hal ini perlu dibaiki oleh kita semua.

“Ini bermaksud, perdekatan yang terlalu menumpukan kepada penampilan ‘kelihatan Islam’ ataupun diberikan ‘jenama Islam’, hendaklah digantikan dengan sesuatu program bercirikan perlaksanaan Islam itu.

“Apakah sebenarnya Islam mahu daripada manusia ini dalam kehidupan bernegara?” katanya menerusi catatan yang dimuatkan dalam akaun Facebook miliknya.

Mohd Asri berkata, kerajaan sebelum ini juga seolah-olah mementingkan perkara luaran, berbanding dalaman apabila berbicara mengenai menegakkan hukum Allah.

“Mereka mementingkan perkara tempelan seperti pemimpin itu dari golongan agamawan, berbicara dengan bahasa ‘ahli agama’, penampilkan yang ‘Islamik’, menghadiri majlis ceramah dan selawat, memberikan bantuan kepada proram agama dan seumpamanya.

“Bagi mereka, membina integriti dan tadbir urus yang baik tidak dirasakan sebagai salah satu penegakan ajaran Islam, malah mereka turut tidak merasakan bahawa usaha menghapuskan rasuah itu sebagai satu cara menegakkan syariah, selain tidak merasakan perjuangan membina urus tadbir yang baik sebagai perjuangan Islam.

“Sedangkan semua itu diberikan penekanannya dalam al-Quran dan hadis yang sahih,” katanya.

Beliau juga menegaskan, umat Islam terperangkap dengan slogan ‘menegak syariat Islam’, dan hakikat sebenarnya ia membuka ruang kepada golongan yang menggunakan jenama Islam untuk menguasai kerusi politik.

“Akibatnya, terdapat golongan berjenama agama sanggup bersekongkol dengan penyalahgunaan kuasa, harta awam dan pentadbiran yang buruk, asalkan golongan pemerintah menonjolkan penampilan agama dengan istilah-istilah Arab dan bantuan tertentu yang kelihatan ada kaitan dengan agama.

“Bahkan mereka membela kesalahan itu, dan menganggap sebagai pembelaan terhadap Islam. Apakah Islam yang hendak ditegakkan itu? Itulah pendekatan yang menekankan kosmetik Islam (cosmetic adjustments), bukan intipati Islam yang sebenar,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan yang baharu dilantik perlu sedar akan perkara ini dan mengelakkan ia daripada berulang kembali.

“Pemikiran seperti ini mesti diubah oleh kerajaan baharu dan perlu menumpukan pendekatan Islam yang bersifat maqasid (intipati tujuan syariat) yang sebenar, bukan sekadar bersifat kosmetik semata-mata bagi menarik sokongan awam.

“Jangan diulangi seperti pentadbiran yang lepas, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *