Sekian lama berjuang dalam industri muzik, Datuk Zainal Abidin bakal menceritakan pengembaraan seninya yang menjangkau tempoh 35 tahun.

Rentetan itu, anak jati Johor ini bakal mengadakan konsert solo, The Musical Journey of Zainal Abidin: 35th Anniversary Concert di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 25 Februari 2017.

“Jujur, saya tidak pernah meraikan ulang tahun sebagai penyanyi.

“Ini konsert ulang tahun pertama bagi meraikan 35 tahun pembabitan saya dalam industri muzik,” katanya kepada media.

Menjanjikan yang terbaik, selebriti berusia 58 tahun ini bakal mendapatkan khidmat pemuzik handalan seperti Mac Chew, Jenny Chin, Andy Peterson, Armand Sabbal-Lecco dan Steve Thornton.

Bukan itu sahaja, katanya, konsert ini juga akan menjadi ‘pengubat rindu’ paling manis untuk peminat setianya.

Zainal yakin peminatnya tidak mahu terlepas momen indah itu.

“Ini adalah konsert eksklusif saya untuk peminat setia yang memberi sokongan selama ini.

“Saya pasti peminat juga tidak mahu ketinggalan hadir ke konsert ini,” katanya yang terkenal dengan genre World Music.

Jelasnya, dalam konsert lebih dua jam itu, peminat akan ‘dihidangkan’ dengan lebih 20 lagu popularnya seperti Hijau, Orak Arek, Puteri, Ikhlas Tapi Jauh, Inayah dan Terangsang.

Tambahan pula, pemilik nama penuh Zainal Abidin Mohamad ini turut menjanjikan sesuatu yang berlainan dalam konsert anjuran Netzah Production itu.

“Sebenarnya, saya sudah lama merancang untuk mengadakan konsert ini.

“Insya-ALLAH, saya akan tampilkan pelbagai persembahan yang berbeza tetapi menarik,” katanya yang akan mula sibuk menjalani latihan pada Januari nanti.

Lebih istimewa, Zainal memberitahu, konsert itu turut menampilkan persembahan pembukaan daripada kumpulan Headwind.

Katanya, konsert tersebut menjadi ‘lokasi’ terbaik perjumpaan semula bagi semua ahli asal kumpulan Headwind.

Headwind, kumpulan popular pada 1980-an dianggotai oleh Zainal selaku vokalis, Zulkif (gitar), Nicky Oii (bass), Kudin (keyboard) dan Razak (dram).

Bagaimanapun, kumpulan ini berpecah pada 1990-an apabila Zainal dan diikuti ahli lain yang turut bergerak  solo.

“Alhamdulillah, semua ahli  Headwind masih lagi sihat dan boleh bermain muzik dengan baik.

“Jadi, saya ambil peluang ini sebagai tempoh percubaan untuk mengetengahkan mereka,” katanya yang bakal melahirkan album terbaru bertaraf antarabangsa.

Tidak mahu ketinggalan, kata Zainal, Headwind juga akan tampil dengan untaian lagu malar segar seperti Segalanya Mungkin, Hanya Di Radio, Suraya, Pelangi dan Kita Serupa.

Yakin dengan aura yang ada di dalam diri, anak kelima daripada 10 beradik ini turut positif dengan perkembangan jualan tiket.

Lebih membanggakan, tiket konsert Zainal sudah pun terjual melebihi 60 peratus.

“Saya sedar pasaran konsert berbayar sudah  tidak bagus kerana dimusnahkan dengan kehadiran pelbagai konsert percuma.

“Namun, saya yakin dengan kualiti yang ada pada Zainal Abidin.

“Saya percaya, peminat juga pasti akan tertunggu-tunggu buah tangan saya ini.

“Bahkan, konsert belum lagi berlangsung di Kuala Lumpur, tetapi saya sudah ada demand di Johor dan Singapura,” katanya.

Kepada peminat Zainal Abidin yang mahu menyaksikan konsert berkenaan, tiket dijual dengan harga RM958, RM558, RM358, RM258, RM178 dan RM158. Layari www.myticket.asia untuk pembelian dalam talian.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *