Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, 63, dimasukkan ke hospital akibat muntah-muntah sejak semalam.

Produser filem Abang Long Fadil 2 itu dikejarkan ke Hospital Tawakkal, di sini, selepas disyaki mengalami keracunan makanan.

Isterinya, Datin Patimah Ismail, ketika dihubungi bagaimanapun memaklumkan, keadaan Yusof semakin baik.

“Ketika kejadian pagi semalam, dia sudah pun berada di pejabat. Selepas mendapat panggilan daripada pekerjanya, saya terus ke hospital dan waktu itu, dia memang dalam keadaan lemah,” katanya.

Pengurus Pengedaran dan Promosi, Skop Production Sdn Bhd, Rosman Ibrahim, pula memberitahu, Yusof baru saja hendak memulakan perbincangan dengan pelakon yang juga penerbit, Datuk Rosyam Nor apabila mula berasa tidak sihat.

“Dia tiba-tiba bangun dan terus meluru ke tandas serta muntah. Saya segera mengikutnya ke tandas dan ketika itu, keadaannya sudah lemah sambil tersandar di dinding.

“Saya mengurut belakangnya kerana pada mulanya saya berasakan ia hanya berpunca daripada angin dalam badan.

“Dia juga pada awalnya hanya mahu berehat di pejabat, tetapi melihat keadaan agak serius, saya terus membawanya ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Yusof yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp mengakui keadaannya sudah stabil.

“Saya muntah-muntah dari pagi sampai petang semalam. Alhamdulillah, malam tadi badan saya sudah rasa baik selepas sehari dirawat di hospital.

“Insya-Allah, jam 2 petang ini saya mungkin boleh keluar,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *