Share on Facebook

SEREMBAN, Yayasan Maybank yang juga sayap tanggungjawab sosial korporat institusi perbankan itu, menyasarkan untuk melatih 4,000 peserta termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan golongan terpinggir menerusi Fasa 3 Program berteraskan keusahawanan ‘Reach Independence and Sustainable Entrepreneurship ‘ (RISE).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan itu, Shahril Azuar Jimin berkata pihaknya telah memperuntukkan sejumlah RM13.3 juta di bawah fasa baharu iaitu meningkat daripada RM5.4 juta dalam fasa sebelumnya.

“Kami akan turut melancarkan projek perintis RISE di Laos selepas Filipina, Indonesia dan Malaysia di bawah Fasa 3 itu.

“Malah, kami sedang meninjau beberapa negara lagi dalam lingkungan ASEAN dan masih berbincang dengan Sekretariat ASEAN untuk memperluaskan program ini ke negara-negara ASEAN yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Fasa 3 Program RISE di sini, hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz. Turut hadir, Presiden dan CEO Maybank Group Datuk Abdul Farid Alias.

Shahril Azuar berkata yayasan itu juga bekerjasama erat dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan di negara lain dalam usaha mengenal pasti pesertanya.

Menurutnya RISE itu bertujuan melatih dan membimbing peserta membangunkan kemahiran keusahawanan serta mencapai tahap pendapatan lebih tinggi, sekali gus dapat mempertingkatkan kehidupan mereka.

RISE juga bertujuan memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus peserta terbabit mampu mencapai pertumbuhan pendapatan sebanyak 100 peratus dalam tempoh tiga bulan, katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Farid berkata keputusan meneruskan program dengan menambah bilangan peserta adalah berkait rapat dengan kejayaan besar dicapai peserta dalam dua fasa terdahulu.

“Fasa 1 program itu menyaksikan setiap 280 peserta berjaya mencatat purata peningkatan pendapatan yang membanggakan iaitu sebanyak 411.7 peratus.

“Dalam Fasa 2 pula, sebanyak 1,866 peserta yang dilatih di sekitar Malaysia, Indonesia dan Filipina meraih purata kenaikan pendapatan masing-masing sebanyak 356.4 peratus, 351.8 peratus dan 565 peratus di negara-negara terbabit,” katanya.

Abdul Farid berkata Fasa 3 akan menjangkau 4,000 peserta, termasuk 800 orang di Malaysia, Indonesia (2,000), Filipina (1,000) dan 200 orang di Laos dengan 70 peratus daripada mereka adalah kalangan OKU.

Program RISE itu dilaksanakan di peringkat serantau menerusi rakan Yayasan Maybank, People Systems Consultancy Sdn Bhd selain kerjasama dengan unit-unit perniagaan Maybank di peringkat tempatan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *