KUALA LUMPUR, Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seorang wartawan wanita warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Myanmar pada Jumaat (27 Okt) kerana dikatakan melakukan penggambaran video menggunakan dron di Bangunan Hluttaw di Nay Pyi Taw tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, Mok Choy Lin, yang bekerja dengan Turkish Radio and Television (TRT), ditahan bersama-sama dengan seorang warganegara Singapura dan seorang rakyat tempatan di negara itu.

Mereka kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Myanmar.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon sedang memantau perkembangan kes itu dan akan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.

Satu portal berita hari ini melaporkan bahawa pihak berkuasa Myanmar menahan dua wartawan masing-masing dari Malaysia dan Singapura kerana menggunakan dron untuk merakam gambar.

Menurut laporan itu, Kementerian Penerangan Myanmar memaklumkan bahawa kedua-dua wartawan itu mahu merakam gambar bangunan Parlimen dan pagoda di Nay Pyi Taw apabila pengawal keselamatan mengesan perbuatan mereka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *