Tindakan MCA membantah hasrat Pas untuk menganjurkan himpunan mega bagi memberi penerangan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bulan depan disifatkan biadab.

Ketua Wira Perkasa Kelantan, Burhanuddin Ruslan berkata, pihaknya kesal dengan tersebut dan dalam masa sama mengharapkan agar MCA lebih menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang secara terbuka menentang usaha Pas memberi penerangan tentang RUU355 18 Februari nanti seolah-olah mereka tidak menghormati hak umat Islam di negara ini.

“Sedangkan keharmonian dan keutuhan antara kaum di negara ini adalah berasaskan persefahaman, kesedaran serta saling menghormati antara satu sama lain termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyifatkan bantahan terhadap himpunan itu sebagai petanda awal penentangan terhadap usul pindaan RUU355 dan berharap ia tidak akan berlanjutan sehingga menimbulkan suasana lebih tegang.

“Wira Perkasa Kelantan berharap agar MCA tidak sesekali menyentuh dan mempertikai tentang Islam serta menjadi jaguh untuk kepentingan sendiri. Kami gesa Datuk Seri (Tiong Lai) tarik balik kenyataan dan mohon maaf kepada umat Islam,” katanya.

Burhanuddin berkata, pihaknya tidak teragak-agak ‘memulau’ Parlimen Bentong dan Presiden MCA sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu dan akan berkempen memastikan pengundi Melayu Islam di situ tidak lagi memberi undi kepada parti berkenaan.

“Tidak sekadar itu, kami akan tampilkan calon ‘Barisan Bebas Perkasa’ untuk bertanding di Parlimen Bentong yang majoritinya adalah pengundi Melayu Islam. Sebelum ini merekalah yang memberi undi kepada Datuk Seri sehingga layak menjadi Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, pihaknya juga berharap agar Tiong Lai dapat menghormati kedudukan agama Islam dan sensitiviti umat Islam sekali gus memahami peranan agama masing- masing agar dapat memupuk kesejahteraan beragama.

Ahad lalu, MCA menegaskan pendirian membantah hasrat Pas kerana menyifatkan himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu akan memungkinkan tercetusnya perpecahan antara kaum di negara ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *