Share on Facebook

Idea bernas dihimpun menerusi Persidangan antarabangsa ‘Women in politics Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017)’ diharap boleh dibawa pulang sebagai ‘ole-ole’ demi pembangunan wanita di negara masing-masing.

Naib Perdana Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kepulauan Luar, Republik Mauritius, Fazila Jeewa Daureawoo, berkata beliau tertarik dengan isu memperkasa wanita kerana ia menjadi perhatian dunia, apatah lagi kepemimpinan wanita terbukti hebat untuk pembangunan sesebuah negara.

Beliau yang memuji usaha kerajaan menganjurkan persidangan seumpama itu, menjelaskan wanita dan Kerajaan Mauritius, semakin sedar mengenai kepemimpinan wanita, malah kira-kira 50 wanita menduduki kerusi pembuat keputusan dalam sektor awam.

“Usaha memperkasa wanita perlu dimulakan sekarang kerana ia memberi pengaruh besar kepada generasi akan datang. Cuma cabaran yang kami hadapi kini ialah jumlah wanita dalam sektor swasta masih rendah diambil sebagai ketua, iaitu kira-kira 18 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar WIPKL 2017 di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi WIPKL 2017, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Gabenor Ramallah dan Al-Bireh, Palestin, Dr Laila Ghannam.

Fazila berkata, negaranya yang terkenal dengan industri pelancongan itu memiliki populasi 1.2 juta orang dengan 52 peratus terdiri daripada wanita.

Katanya, kerajaan negara itu di bawah kepemimpinan Presiden wanita, Ameenah Gurib, melihat isu berkenaan sangat mustahak, malah mungkin akan memperkenalkan beberapa insentif kepada majikan bagi memastikan wanita tidak ketinggalan menjawat jawatan tinggi dalam syarikat swasta.

“Wanita mungkin berasa sukar untuk membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya. Saya kira insentif ini sangat mustahak sebagai galakan kepada majikan dengan mengambil kira halangan dihadapi pekerja wanita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, negara itu turut berdepan isu keganasan rumah tangga yang perlu ditangani.

Katanya, kerajaan merancang membangunkan pusat sehenti bagi membolehkan wanita mendapatkan perlindungan sewajarnya ketika membuat laporan berhubung keganasan rumah tangga.

“Banyak kes digugurkan kerana wanita gusar untuk meninggalkan anak ketika proses perbicaraan berlangsung. Malah, dalam usaha melindungi wanita, kerajaan turut memperluaskan skop definisi keganasan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Dr Laila berkata, sungguhpun negara itu selalu digambarkan dengan situasi tidak tenteram, wanitanya tidak berdepan kesukaran untuk mendapat kerja, malah lebih 50 peratus wanita di negara itu menyertai sektor pekerjaan.

“Lelaki dan wanita memahami peranan masing-masing malah saling hormat-menghormati. Walaupun negara kami dalam situasi konflik, wanita di negara kami sentiasa berpandangan jauh,” katanya.

Justeru, katanya, apa sahaja cadangan yang akan dibincangkan dalam persidangan itu nanti boleh diamalkan di negaranya.

Mengulas mengenai cabaran, Dr Laila, berkata halangan utama dihadapi wanita, malah mungkin untuk negara berkenaan ialah regim Israel.

“Sekatan daripada pihak Israel menjadi halangan untuk wanita bergerak bebas,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *