Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,000 pejuang seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bagi menyatakan rasa prihatin terhadap nasib yang sedang melanda umat Islam bangsa Rohingya yang sedang ditindas di Myanmar.

Buat julung kalinya, WHAM dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri hiburan dan sebagainya menganjurkan acara persembahan puisi dan nyanyian lagu kemanusiaan menerusi Doa Untukmu Rohingya.

Acara yang berlangsung sekitar jam 2 petang hingga 12 malam di Lantai Seni, Istana Budaya, Ahad lalu ini mendapat sambutan yang cukup meriah daripada orang ramai.

Meskipun cuaca tidak begitu menyebelahi pada sebelah petangnya, namun ia tidak menghalang penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur untuk terus menyatakan sokongan mereka sehingga ke penghujung acara.

Apatah lagi dengan komitmen dan kesungguhan para artis serta selebriti  yang terlibat telah menjadikan acara ini sebagai satu permulaan yang baik untuk mereka bersatu dalam menyalurkan rasa prihatin terhadap isu yang berlaku.

Acara ini telah menyaksikan 100 puisi terpilih karya orang ramai yang dideklamasikan oleh  para artis, selebriti dan tokoh yang mengambil bahagian dalam acara istimewa ini.

Antara selebriti yang memeriahkan acara ini di segmen pertama yang berlangsung pada sebelah petang dari jam 2 hingga 7 petang ialah Ameerul Affendi, Ain (Kumpulan Awok), DJ Lin, Abby Fana, Dina, Najwa Latiff, Ayai Ilusi, Waris, Salam Buskers dan lain-lain.

Sementara untuk segmen kedua di sebelah malam, acara ini dihangatkan lagi dengan penyertaan Kumpulan Raihan, Rabbani, Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Nabil Ahmad, Janna Nick, Ellie Suriaty, Nora Ariffin, Azharina, Sarah Raisudin, Zarul Umbrella, Izreen Azminda, Johan Asari dan ramai lagi.

Malah tidak lengkap juga acara pembacaan puisi ini tanpa kehadiran pendeklamator tersohor seperti Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Rahman Saari dan Leftenan Dr Radzi Ahmad.

Turut membuat penampilan istimewa adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Pegarah Istana Budaya, Datuk Muhamed Juhari Shaarani di mana masing-masing berkesempatan menyampaikan sebuah puisi.

Apa yang menariknya, WHAM juga merancang untuk membukukan 100 karya yang terpilih di acara ini untuk menjadi arkib seni yang bernilai dan terus tersimpan ke masa hadapan.

Menurut Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program bersifat kemasyarakatan ini adalah himpunan rasa yang bergulir dalam diri para seniman tanah air yang turut terkesan setelah melihat apa yang berlaku di Myanmar.

“WHAM mahu menggabungkan suara-suara hati itu untuk diluahkan dengan satu suara iaitu Doa Buatmu Rohingya di mana kami telah berusaha menghimpunkan 1,000 orang seniman untuk turut serta dalam acara ini.

“Kami mahu menggerakkan kempen ini sekali gus menyokong ke arah resolusi kepada kemelut kemanusiaan yang dialami masyarakat Rohingya yang dinafikan kewujudannya di Myanmar,” ujarnya.

Selain acara pentas, WHAM juga memberi peluang kepada sekumpulan pelukis tanah air untuk sama-sama terlibat dengan mengadakan pameran lukisan amal Doa Untukmu Rohingya di mana sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan untuk tabung amal tersebut.

Sementara itu, rata-rata artis yang temusi melahirkan rasa bangga terhadap usaha murni ini.

Pengarah dan juga pelakon Ellie Suriaty berkata, ini merupakan satu usaha yang murni untuk kita mengangkat isu Rohingya untuk menunjukkan rasa prihatin terhadap nasib saudara seagama.

“Dalam masa sama, saya sangat berharap agar kerajaan Malaysia juga dapat membantu mereka sebagai mana kita membantu Palestin.

“Artis lazimnya dianggap sebagai ikon dalam masyarakat dan mereka seharusnya tahu menggunakan diri untuk berada landasan yang tepat seperti ini agar dapat mengajak orang ramai untuk mengamalkan nilai-nilai positif selain berhibur.

“Pada saya, ini masanya kita boleh melakukan sesuatu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang selama ini telah menyokong kerjaya seni kita,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan pelakon Ameerul Affendi yang menyokong acara sebegini agar diteruskan pada masa akan datang.

“Saya sangat menyokong acara yang diadakan ini bagi menyatakan rasa peduli kita kepada nasib yang sedang menimpa masyarakat Rohingya yang juga saudara seagama kita.

“Acara ini dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa kita perlu mengambil tahu dan membantu menerusi cara yang termampu bagi mengurangkan penderitaan mereka di sana.

“Penglibatan artis dalam acara amal seperti ini sangat perlu kerana kita tahu mereka mempunyai ramai pengikut dan sentiasa berada di depan. Jadi waktu inilah mereka boleh menggunakan pengaruh mereka untuk menyebarkan mesej-mesej positif,” katanya.

Pelawak, Ain dari kumpulan Awok menyifatkan acara sebegini memang sangat bagus dalam menyuntik rasa prihatin kepada apa yang telah berlaku terhadap masyarakat Rohingya yang tertindas di sana.

“Kita tidak dapat nak bantu mereka secara terus, jadi kita bantu menerusi penglibatan acara puisi yang menuturkan kata-kata yang juga dalam masa yang sama adalah doa buat mereka di sana.

“Jadi saya harap selepas ini lebih ramai lagi rakan-rakan artis yang turut terlibat dalam acara amal begini untuk sama-sama membantu menarik sokongan daripada orang ramai.”

Seorang lagi artis yang turut sama menjayakan program ini, Zul Handy Black beranggapan, acara sebegini, biarpun seperti berhibur tetapi sebenarnya menerusi penyampaian puisi dan lagu kemanusiaan yang dipersembahkan ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu penting begini.

“Jadi bila kita anjurkan atau terlibat dengan acara-acara yang mempunyai konsep dan kandungan yang bermanfaat begini, saya percaya sedikit tidak banyak kita dapat memberi sesuatu nilai yang positif kepada penonton.”

Pendatang baru, Erni Zakri turut tidak ketinggalan bersama-sama pada malam itu berkata, acara ini sangat-sangat positif.

“Kita dapat berkumpul untuk meluahkan rasa peduli kepada saudara seagama kita, masyarakat Rohingya yang sedang ditindas di bumi mereka sendiri.

“Sebagai artis, saya rasa adalah penting untuk kita menyampaikan mesej-mesej positif kepada orang ramai agar mereka juga turut sama menyatakan rasa prihatin mereka terhadap apa yang sedang berlaku ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *