MH Online

Laman Suara Rakyat

Waspada Serangan Saat Akhir Pembangkang

KUALA KANGSAR, Jentera Barisan Nasional (BN) perlu berwaspada dan menangkis serangan mengejut saat akhir yang dicetuskan pembangkang bagi menjatuhkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pembangkang akan menimbulkan pelbagai isu setiap kali menjelang pilihan raya umum untuk menjatuhkan calon yang bertanding serta parti BN.

“Daripada segi realiti apabila pilihanraya umum, isu-isu yang tak pernah timbul, perkara yang tidak pernah muncul, masalah peribadi calon yang tidak ada, diwujudkan kenapa?…kerana pihak pembangkang mencari isu untuk melemahkan semangat kita, untuk menjatuhkan calon kita, untuk menjatuhkan parti kita.

“Saya ingatkan jentera di Perak dan seluruh negara bersiap siaga hadapi serangan ini, tetapi yakin dan percaya biarlah datang serangan itu bertubi-tubi, jika kita mempunyai istiqamah tinggi, daya tahan yang tinggi, daya juang yang tinggi, daya saing yang tinggi, datang serangan apa pun kita akan menolak serangan itu.”

“Kita akan bersatu padu dan pastikan saf barisan kita berada dalam satu pasukan. InsyAllah panji-panji BN akan terus dikekalkan,” katanya ketika berucap pada majlis mesra rakyat sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN turut mengingatkan jentera BN agar tidak memanjangkan isu yang dicipta pembangkang dengan menularkannya yang akhirnya menimbulkan pergolakan di kalangan anggota sekali gus hilang kepercayaaan kepada parti.

“Kita (akhirnya) tidak bersedia untuk menjawab dalam ‘surprise last minute attact’ atau SLMA, tunggu mereka sedang mencipta fitnah tohmahan dan serangan ini, ketika ini pasti SLMA sedang dicipta oleh mereka sebagai satu ledakan bom yang bertujuan untuk mengalihkan pandangan kita dan pandangan pengundi kita .

“Saya cuba mengingatkan pada PRU yang lalu mereka (pembangkang) mengatakan bahawa (terdapat) 40,000 pengundi Bangladesh yang hendak dibawa dengan 100 jumbo jet ke negara kita, yang jelas ia memang tidak ada dan kita sibuk dan di saat akhir tidak ada siapa pun yang jawab dan persepsi pengundi kata ini penipuan yang dilakukan kerajaan BN (sebenarnya) ternyata tiada,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, dengan pengaruh sosial media yang semakin meluas ketika ini, pembangkang pastinya akan mewujudkan SLMA dan ia akan tersebar di seluruh negara.

“Kita harus menilai sebarang SLMA, kerana itu adalah perang psikologi yang sedang diserang dan diciptakan oleh mereka (pembangkang) untuk melemahkan semangat kita.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata jentera seluruh parti komponen BN perlu memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon yang telah diputuskan oleh kerajaan negeri dan pusat untuk bertanding pada PRU14.

“Jangan langsung cerita pasal takut jika ada pemilihan parti akan datang (calon yang bertanding), yang kita nak hadapi ini PRU14, bukan pemilihan parti, jangan siapa-siapa khuatir jika seseorang itu bertanding atau dipilih semula, itu keputusan pimpinan negeri dan pusat.”

“Apa yang penting di Kuala Kangsar, Parlimen harus dipertahankan, Manong dan Bukit Chandan (kerusi DUN) juga harus dipertahankan oleh kita semua (BN),” katanya.

Beliau berkata majoriti yang diperoleh oleh Parlimen Kuala Kangsar dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Manong dan Bukit Chandan kurang daripada 2,000 pada pilihan raya umum lalu adalah kerana masalahan dalaman yang berlaku dalam parti bukan kerana parti lawan kuat.

“Parlimen (Kuala Kangsar) menang 1,000 lebih, kerusi DUN bawah 1,000 ertinya ada masalah dalaman ketika itu saya pasti, bila ada masalah dalaman bukan kerana parti lawan kuat (tetapi) kita lemah.”

“Lupakan titik benih cemburu…apa yang penting kita perlu bentuk semula kerajaan negeri dan pertahankan Putrajaya,” katanya.