Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar mengemukakan dua nama untuk dipertimbang sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar bulan depan.

Ketua Wanita UMNO negeri Datuk Rusnah Kassim berkata kedua-dua calon tempatan itu mempunyai keupayaan dan kepimpinan serta mendapat sokongan dalam kalangan pengundi.

Beliau memberi bayangan seorang daripada yang dicalonkan mempunyai jawatan dalam Wanita UMNO bahagian Kuala Kangsar, manakala seorang lagi hanya anggota biasa.

“Kami serah kepada pucuk pimpinan dalam menentukan calon dan wanita akan menyokong siapa sahaja calon yang dipilih untuk bertanding dalam PRK itu,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Townhall’ dan Bandar Selamat sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kerian di sini hari ini.

Rusnah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata pihaknya telah menggerakkan jentera wanita untuk bertemu dengan pengundi di kawasan berkenaan.

“Wanita sudah berjumpa dengan pengundi kerana kami tidak tunggu sehingga selepas penamaan calon, baru nak bertemu dengan pengundi,” katanya.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *