Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Wanita Paling Ramai Mengidap Diabetes Di Terengganu

Wanita Paling Ramai Mengidap Diabetes Di Terengganu

Wanita merupakan golongan yang paling ramai menghidap diabetes dengan mencatatkan 61.5 peratus daripada 49,947 kes penyakit itu di Terengganu, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar.

Beliau berkata dari Januari hingga September lepas, jabatan itu mendaftarkan  23,546 orang pesakit dalam Registri Diabetes Kebangsaan yang terdiri daripada 14,684 pesakit wanita  dan 8,862 pesakit lelaki.

“Kita memfokuskan kepada wanita kerana dilihat trend peningkatan pesakit diabetes adalah daripada mereka…ada diabetes biasa dan ada yang menghidap diabetes semasa mengandung.

“Dahulu, orang ingat jika mendapat kencing manis semasa mengandung, ia akan hilang selepas bersalin tetapi hakikatnya, penyakit berkenaan kekal 5 peratus dalam badan mereka, tidak  mustahil ia meningkat pada masa  hadapan jika tidak dicegah dari awal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes dan Hari Jantung Sedunia Peringkat Terengganu.

Selain hamil, diabetes juga berpunca daripada obesiti, keturunan, kurang bersenam dan tidak menjaga makan, katanya sambil memberitahu seramai 222 pesakit telah diamputasi dari Januari hingga September lepas.

Mohammad berkata Terengganu turut mencatat sebanyak 941 kes koronori tahun lepas dan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 627 kes baharu direkodkan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha menangani penyakit itu termasuk dengan menubuhkan sukarelawan KOSPEN bagi membantu anggota kesihatan mempromosikan makanan sihat, pengurusan berat badan dan perlaksanaan aktiviti fizikal secara berjadual di  setiap lokaliti KOSPEN.

“Bermula Januari hingga September tahun ini, sebanyak 614 lokaliti KOSPEN berjaya diaktifkan dan seramai 3,104  sukarelawan berjaya dilatih sebagai sukarelawan KOSPEN.

“Mereka juga telah membuat saringan kesihatan kepada 46,972 penduduk di seluruh negeri  dan daripada saringan itu 20,263 orang telah dikesan mempunyai faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan paras gula yang tidak normal,” katanya.

Leave a Reply

Top