Wakil rakyat tunggal PAS di Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada masih mahu meletak beliau sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang atau sebaliknya.

Mohd Salleh yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, berkata beliau sudah lama mendengar desas desus kononnya PAS tidak akan meletaknya sebagai calon pada PRU-14.

“…(saya) dengar lama dah. Tetapi bagi saya yang bukan seorang pimpinan parti, saya tak ada komen pasal isu itu. Saya serah kepada parti untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Mohd Salleh berkata pada masa ini, beliau akan terus berkhidmat sebagai Adun Permatang Pasir dan berharap kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa menyokongnya dalam menjalankan tanggungjawab tersebut.

“Saya harap, kerajaan negeri tidak terlepas pandang dan sentiasa beri perkhidmatan yang baik khususnya di Permatang Pasir. Saya akan bertugas seperti biasa di Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat sehingga habis tempoh,” kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang juga Pengerusi Zakat Pulau Pinang itu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan perjumpaan dengan Mohd Salleh bagi membincangkan kedudukannya dalam pentadbiran negeri berkenaan.

Lim dilaporkan berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu sebelum berbincang dengan Mohd Salleh, namun mengakui hubungan kerajaan negeri dengan Adun berkenaan masih baik seperti dahulu.

Isu kedudukan Mohd Salleh menjadi tanda tanya dan mula dipertikaikan sejak tahun lepas apabila PAS mengisytiharkan sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang selepas kerajaan Pulau Pinang memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan anggota parti itu di Parlimen Kepala Batas.

Terbaharu, kedudukan Mohd Salleh sekali lagi menjadi tanda tanya selepas Dewan Ulama Pas meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

Usul itu diterima tanpa bahas dan akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *