Tempoh kelulusan visa bagi pelajar asing di negara ini dipendekkan daripada 30 hari kepada hanya 14 hari, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu diputuskan semasa Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Pengambilan Pelajar Asing yang dipengerusikan beliau Khamis lalu.

Katanya 10 pegawai tambahan akan ditempatkan di Jabatan Imigresen bagi memastikan kelancaran pengeluaran visa mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.

“Sementara menunggu visa tersebut diluluskan, kerajaan akan mengeluarkan kad visa sementara untuk setiap permohonan daripada pelajar luar negara setelah nama mereka disemak dalam senarai syak Interpol.

“Untuk semakan kita menggunakan Sistem Saringan Pemeriksaan Penumpang (APSS),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan dan hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid juga berkata kelewatan pemprosesan visa pelajar asing sehingga mencecah 30 hari ketika ini antaranya disebabkan masalah oleh Education Malaysia Global Services (EMGS).

“Kini terdapat sebanyak 4,000 permohonan visa pelajar asing yang tertunggak akibat kelembapan oleh EMGS sama ada di universiti awam atau swasta,” katanya.

EMGS ditubuhkan sebagai sebuah Syarikat Berhad Mengikut Jaminan (SBMJ) bukan berdasarkan keuntungan yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjalankan fungsi pemasaran, promosi dan pengurusan merekrut pelajar antarabangsa ke Malaysia.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata usaha mempercepatkan permohonan visa pelajar dibuat kerana kedatangan mereka ke negara ini menyumbang kepada ekonomi negara menerusi pertukaran wang asing sekurang-kurangnya RM5 bilion setahun.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga bersetuju memberikan visa kepada ibu bapa atau penjaga pelajar terutama dari Timur Tengah untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga anak-anak mereka.

“Ini adalah nilai budaya ibu bapa di Timur Tengah. Maka kita akan berikan visa kepada mereka setelah semakan keselamatan dibuat kerana kita tidak berkompromi terhadap soal keselamatan negara,” tegasnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *