ALOR SETAR, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta mereka yang berminat menjadi calon BN supaya bertolak ansur demi perpaduan gabungan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita BN negeri Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim berkata perkara itu adalah antara amanat Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada perjumpaan khas dengan kepimpinan BN Kedah di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN Kedah merangkap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi BN Kedah merangkap Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Pengerusi MCA Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong, Timbalan Pengerusi MIC Kedah Datuk Dr S. Ananthan dan Pengerusi Gerakan Kedah Datuk Dr Cheah Soon Hai.

Sharifah Maznah berkata Ahmad Zahid meminta semua parti komponen supaya mengutamakan perpaduan kerana ia penting bagi BN dalam usahanya memastikan kemenangan pada PRU14.

Sementara itu, Cheah berkata Ahmad Zahid menegaskan unsur sabotaj parti perlu dielakkan bagi memastikan kejayaan BN dalam PRU14.

“Beliau meminta anggota supaya tidak mensabotaj parti dan calon kerana sudah semestinya calon (yang dipilih) adalah mengikut keperluan BN,” katanya.

Cheah berkata dalam amanatnya, Ahmad Zahid turut memberi suntikan semangat kepada parti-parti komponen supaya bekerja keras bersama-sama UMNO untuk meraih kemenangan PRU14.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja BN Kedah Datuk Ariffin Man berkata timbalan perdana menteri berpendapat kesiapsiagaan BN negeri adalah dalam keadaan baik namun meminta jenteranya diperkemaskan lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *