SME Corp menyerahkan geran Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) berjumlah RM1.1 juta kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kelantan.

Sebanyak tujuh syarikat PKS Bumiputera menerima cek geran terbabit bagi tujuan membangunkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Bahagian Strategik Korporat SME Corp, Mimi Razidah Abdul Razak, berkata geran ini dapat memberi peluang kepada peniaga meneroka pasaran dan pelaburan dengan lebih luas.

“Tujuh syarikat yang dipilih adalah berdasarkan permohonan serta kajian pihak kami terhadap potensi mereka mengembangkan perniagaan dengan baik.

“Program ini juga akan dapat menyuntik semangat usahawan untuk terus menjalankan pelbagai jenis perniagaan sekali gus memajukan ekonomi negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis Perasmian Penutup Minggu PKS 2017 peringkat negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Setakat ini seramai 130 Usahawan PKS di Kelantan sudah menerima geran yang sama daripada SME Corp sejak 2009 dengan nilai keseluruhan RM11.8 juta.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha, Sementara itu, Makhtar berkata, penyampaian geran ini dapat membantu membangunkan usahawan di Kelantan dan secara tidak langsung dapat menaikkan semangat orang ramai terutama anak muda untuk menceburi bidang perniagaan.

“Inisiatif daripada SME Corp ini adalah satu platform yang dapat menggalakkan pembabitan usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka selain mendedahkan kepada masyarakat saluran yang betul untuk memulakan perniagaan.

“Diharapkan pelbagai lagi program boleh dirangka dan dijalankan yang mana memberi manfaat kepada masyarakat khususnya untuk usahawan tempatan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *