PUTRAJAYA, Usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta negara melalui sambutan hari kebangsaan perlu digarap dengan perancangan teliti dan idea-idea baharu agar memberi impak tinggi serta berkesan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata usaha itu bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan gabungan strategik semua pihak.

Katanya pengisian dan idea-idea baharu harus digarap supaya satu sambutan yang bukan sahaja meriah dapat dilaksanakan, tetapi lebih penting lagi dapat menyentuh hati dan minda rakyat supaya terus mencintai negara.

“Kita telah membuktikan bahawa dengan gabungan mantap dan kerjasama strategik semua pihak kita telah dapat menghasilkan program-program yang berimpak tinggi dan memberi kesan kepada masyarakat.”

“Program yang melibatkan kerjasama kementerian, agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan agensi media sememangnya dapat dirasai semangat dan kemeriahannya oleh seluruh rakyat di segenap pelosok negara,” katanya ketika berucap pada Program Pengukuhan Jaringan Strategik Merdeka 2017, di sini pada rabu.

Salleh berkata sejak mula disambut pada 31 Ogos 1957, sambutan hari kebangsaan telah menjadi acara penting negara sekali gus menjadi platform mempamerkan kekuatan dan kemajuan yang telah dicapai Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Beliau menzahirkan rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak yang menjadi tonggak kejayaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini sehingga menjadi antara yang terbaik pernah dianjurkan dengan kehadiran melebihi sejuta orang bagi keseluruhan acara-acara yang dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan 2017.

“Semoga semangat kemenangan dan kerjasama ini akan dapat diteruskan dengan penganjuran program-program kenegaraan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian diumumkan sebagai Ikon Patriotik 2017.

Sementara itu, Kampung Merampong, Keningau, Sabah diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Keceriaan bagi kategori kampung tradisional manakala Rancangan Perumahan Awam Arau, Perlis dan Sekolah Kebangsaan Meritam, Limbang Sarawak masing-masing dinobatkan sebagai johan dalam segmen taman perumahan dan pintu gerbang.

Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan masing-masing.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *