Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat menyokong usaha Perdana Menteri membawa isu konflik penindasan etnik Rohingya pada pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu perlu disokong tanpa mengira latar belakang, agama dan ideologi politik.

Justeru, katanya, beliau juga menyokong usul UMNO Bahagian Kemaman hari ini supaya Datuk Seri Najib Razak membawa isu penindasan etnik Rohingya kepada Trump, bagi mendapatkan bantuan dan pembelaan terhadap nasib etnik Rohingya yang perlu disokong oleh semua.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri sebelum ini sudah menyuarakan keprihatinannya terhadap masalah menimpa etnik Muslim Rohingya yang menjadi mangsa penindasan kerajaan Myanmar.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, isu penindasan etnik Rohingya yang berlarutan sekian lama memerlukan perhatian negara Islam lain.

“Isu menimpa etnik Rohingya ini bukan semata-mata masalah Islam, tetapi juga isu kemanusiaan.

“Kita harap dengan usaha itu nanti nasib etnik Rohingya mendapat pembelaan badan keamanan dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kemaman di Dewan Berlian di sini, hari ini.

Najib dijadual ke AS pada Selasa ini selepas menerima jemputan Trump untuk melawat Rumah Putih.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Timbalan Ketua UMNO bahagian Kemaman dan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu Ahmad Zahid, berkata lawatan Najib ke AS bukan bermaksud negara mahu berkiblatkan negara besar itu, tetapi menjalin kerjasama baik dengan semua negara maju.

“Malaysia sendiri sedang menuju status negara maju, jadi kita mahu berkawan dengan semua kuasa besar yang boleh membawa impak pembangunan dan ekonomi buat rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pembangkang mendakwa Najib takut ke AS kerana bimbang ditahan kerajaan negara itu kononnya kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

“Tetapi kini apabila Perdana Menteri dijemput ke sana oleh Presiden AS, mereka suruh batalkan pula.

“Ingin saya katakan di sini, cukuplah pembangkang menipu rakyat. Selain menyelesaikan masalah ekonomi dan politik, Najib sebagai pemimpin negara ASEAN dan Islam juga boleh membawa isu etnik Rohingya untuk pembelaan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *