Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) pada Rabu menyatakan kebimbangan mengenai nasib 500 pelarian dari Afrika yang mungkin lemas di Mediterranean akibat bot karam.

Jika berita itu disahkan, ia menjadi salah satu daripada tragedi paling buruk sejak krisis pelarian di Eropah bermula, lapor AFP.

Mereka yang terselamat dikatakan terapung-apung di lautan sebelum diselamatkan kapal dagang yang kebetulan melalui lokasi bot karam tersebut.

UNHCR diberitahu, banyak pelarian mati lemas apabila sindiket pemerdagangan manusia cuba memindahkan mereka ke sebuah kapal yang sesak, di sebuah lokasi antara Libya dan Itali.

Insiden tersebut berlaku ketika Eropah sedang berusaha mencari jalan penyelesaian tentang kumpulan penghijrahan yang mahu melarikan diri dari peperangan, kebuluran dan pendakwaan .

“Pelarian yang diselamatkan berkata, mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 100 dan 200 orang yang mula meninggalkan Libya minggu lalu dalam sebuah bot berukuran 30 meter,” ujar UNHCR dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu: “Selepas belayar beberapa jam, penyeludup yang mengendalikan bot cuba  memindahkan penumpang ke sebuah kapal yang lebih besar namun sesak dengan ratusan orang.”

Kapal itu kemudiannya terbalik dan karam.

Mereka yang terselamat berjumlah 41 orang kesemuanya – dengan 37 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun. Di antara mereka terdapat juga pelarian dari bot kecil yang berlepas dari Libya pada awalnya

Mereka dipercayai hanyut di laut selama tiga hari sebelum diselamatkan kapal kargo Filipina yang membawa mereka ke Kalamata, dekat semenanjung Peloponnese, Greece.

Kumpulan yang terselamat itu terdiri daripada 23 rakyat Somalia, 11 Ethiopia, enam warga Mesir dan seorang dari Sudan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *