Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu tidak menaja ahlinya untuk terlibat dalam demonstrasi jalanan pada Sabtu ini.

Malahan Menteri Wilayah Persekutuan itu juga mengulangi pendirian Umno untuk tidak melindungi ahlinya yang melanggar undang-undang.

Kata beliau, penyertaan penyokong Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) pimpinan Datuk Seri Jamal Md Yunos juga berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya tak galak ahli Umno turut serta dalam perhimpunan ini dan Umno juga tidak taja mereka yang terlibat.

“Jika mereka pergi secara individu dan membuat perkara yang melanggar undang-undang, pihak polis akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumawip di Residensi Taman Sri Rampai, Setapak di ibu negara pada Rabu.

Setakat ini, dua pihak yang akan terlibat dalam perhimpunan pada 19 November ini termasuk penganjur Bersih 5 masih tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk mendapatkan kebenaran polis.

Sebelum ini Jamal yang mengetuai kumpulan gerakan Baju Merah berkata, pihaknya akan ‘berperang’ dengan Bersih jika kumpulan tersebut masih mahu meneruskan perhimpunan Sabtu ini.

Selain itu, kata Tengku Adnan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap tidak membenarkan penganjuran Bersih 5 di Dataran Merdeka atau Padang Merbok.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kedua-dua pihak supaya berbincang secara rasional untuk menyelesaikan isu ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *