Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membidas pihak tertentu yang sengaja mencetuskan polemik berhubung tindakan pasukannya menandatangani pemain import baharu, pada jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Annuar dipetik menerusi akaun Facebook miliknya hari ini melahirkan rasa berang apabila pihak berkenaan menggunakan isu tersebut sebagai modal untuk ‘menyerang’ Kafa ketika dalam masa sama badan induk bola sepak negeri itu masih terpalit dengan kemelut tunggakan gaji pemain lama.

“Saya ingin memberi amaran kepada pihak yang mendakwa diri sebagai pro (profesional) tapi mencampakkan profesionalisme mereka dalam longkang.

“Mereka memilih untuk menulis dalam media sosial tanpa ada tanggungjawab untuk memeriksa fakta dan peraturan,” katanya.

Walaupun tidak menyatakan pihak yang dimaksudkan itu, namun kata-kata pedas beliau mungkin ditujukan kepada Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro).

Akhbar tempatan semalam, melaporkan FIFPro menerusi akaun rasmi Twitters mengkritik Kafa mendapatkan dua pemain import baharu, Abou Bakr Al-Mel dan Seydi L Imam tanpa sekatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedangkan mereka masih berdepan dengan masalah tunggakan gaji.

Annuar bagaimanapun mempertahankan pendirian Kafa menukar pemain import bertujuan untuk memperkasakan pasukan dan menjelaskan ia sebahagian daripada usaha memperbaiki aliran tunai kewangan persatuan mengambil kira analisa kos faedah yang teliti.

“Tutup mulut kalau sekadar pandai bercakap. Menukar pemain tidak semestinya menambahkan kos, terutama bila pasukan ada perjanjian tertentu dengan ejen dan pemain berkaitan prestasi atau tahap kecergasan mereka,” katanya.

Bekas presiden Kafa itu turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak tahu menahu mengenai falsafah pengurusan bola sepak agar lebih baik menutup mulut.

“Tolong diam jika anda tidak pernah menguruskan sebuah pasukan profesional dan bertanggungjawab mencari dana untuk membayar gaji pemain bola sepak. Kalau sekadar tahu makan gaji, usah berlagak profesional,” katanya.

Dalam masa sama, Annuar turut mengingatkan bekas pemain Kelantan yang gemar mengemas kini status di laman sosial mengenai isu tunggakan gaji agar menghentikannya kerana pihaknya sudah lama bertolak ansur dalam perkara tersebut.

“Mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenai pasukan adalah satu perlanggaran kontrak. Sekiranya perkara itu tidak dihormati, pasukan juga berhak untuk tidak bersimpati terhadap kamu (bekas pemain),” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *