Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi tujuan pembangunan dan pembinaan prasarana kampus induk Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau berkata kemudahan bangunan pengajian dan penginapan pelajar yang terhad menyaksikan hanya kira-kira 150 hingga 250 pemohon diterima memasuki Darul Quran, sedangkan permohonan kemasukan mencecah ribuan orang setiap tahun.

“Ini bukan disebabkan pemohon atau calon tidak mencapai tahap dikehendaki tetapi kerana kapasiti bangunan asrama dan bangunan akademik yang agak terhad.

“Sehubungan itu, bersempena sambutan Jubli Emas Darul Quran, saya mengumumkan peruntukan pembinaan prasarana bagi menampung kemudahan bangunan serta penginapan pelajar,” katanya ketika berucap merasmikan Simpoisum Tahfiz Al-Quran Peringkat Antarabangsa sempena sambutan jubli emas Darul Quran Ke-50 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatana Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Seri Othman Mustapha.

Menyedari kekecewaan ibu bapa apabila anak-anak mereka tidak berpeluang meneruskan pengajian di bidang tahfiz, Ahmad Zahid berkata kerajaan memberikan peruntukan itu dengan harapan ia dapat memperkasakan institusi tahfiz sehingga menjadi hab pendidikan tinggi tahfiz.

“Selain itu, saya juga berazam menjadikan Darul Quran sebagai sebuah universiti penuh suatu masa nanti, sekali gus menjadikan pengajian tahfiz lebih terbuka dan inklusif, bukannya eksklusif kepada mereka yang berada dalam pengkhususan bidang agama sahaja,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) kepada 33 penerima pangkat mumtaz, satu pengiktirafan kepada individu yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta tidak memperoleh pengiktirafan dari mana-mana institusi.

STM kini diterima pakai sebagai satu dokumen sokongan bagi permohonan guru tahfiz Kementerian Pendidikan dan Skim Pembiayaan Hafiz yang ditawarkan oleh Jakim.

Sejak diperkenalkan pada 2011, pemegang STM kini berjumlah 468 orang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *