Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan penubuhan Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM), bagi menaungi semua persatuan motosikal di seluruh negara.

Beliau berkata melalui GPPM, persatuan yang menaungi “bikers kecil” atau “kapcai” akan turut disertakan sekali gus mewujudkan kesamarataan dalam kalangan pencinta motosikal, selain memudahkan penganjuran program yang memberi faedah kepada masyarakat.

“Selama ini bikers atau aktiviti bermotosikal dianggap elitis, angkuh dan hanya berada dalam kelompok sendiri sedangkan sebenarnya penunggang motosikal berkuasa tinggi juga melakukan aktiviti bersama masyarakat.

“Sebab itu, saya berterima kasih pada bikers kecil atau kapcai yang turut menyumbang sesuatu kepada komuniti dan atas sifat kesamarataan, saya umumkan penubuhan GPPM untuk menggabungkan semua persatuan motosikal di bawah satu bumbung,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap merasmikan penutupan program Merdeka Rides 2017 anjuran Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) di sini, hari ini.

Program yang bermula di Jeli, Kelantan pada 4 Sept lepas dan berakhir di Putrajaya semalam itu disertai 600 buah motosikal berkuasa tinggi yang mengelilingi semenanjung Malaysia sambil melakukan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk luar bandar.

Ahmad Zahid turut mengumumkan bekas Presiden SAM Datuk Seri Rauf Yusof selaku pengerusi penaja GPPM, dan berjanji meluluskan pendaftaran pertubuhan itu dalam masa sebulan selepas permohonan dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Katanya selaku Menteri Dalam Negeri, beliau akan membantu memudahkan proses itu agar rancangan menyatukan semua persatuan motosikal menjadi kenyataan.

“Saya mahu selepas 90 hari diluluskan, GPPM mampu menghimpunkan semua persatuan dan kembali berkumpul di sini (Dataran Putrajaya) bersama 60,000 bikers, bukti kesamarataan antara semua peminat motosikal,” katanya.

Bagi membantu meringankan penderitaan etnik Rohingya, Ahmad Zahid turut melancarkan Tabung Mangsa Rakyat Rohingya khusus untuk anggota SAM, antara lain bagi mengumpul dana membantu masyarakat Islam itu yang sedang ditindas.

Timbalan perdana menteri yang secara spontan menanggalkan topi yang dipakai sebagai simbolik permulaan kutipan dana itu berkata tabung itu diwujudkan bagi menunjukkan komitmen SAM mendukung usaha kerajaan membantu Rohingya.

“Kita mahu gambarkan kepada dunia bahawa bikers juga mengambil peduli tentang penderitaan yang sedang dialami Rohingya, sekaligus menjadi tulang belakang kepada usaha kerajaan membantu masyarakat Rohingya,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga pengerusi eksekutif SAM turut melancarkan nombor pendaftaran kenderaan SAM yang telah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Nombor pendaftaran yang terbuka untuk dimiliki pemilik semua jenis kenderaan itu bermula dari SAM 1 sehingga SAM 9999.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *