Pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pertemuan kira-kira 30 minit itu berlangsung di pejabat timbalan perdana menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memuat naik gambar pertemuan tersebut di laman Twitter miliknya.

Sebelum pertemuan itu, Dr Zakir menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perdana Putra.

Dr Zakir yang juga Tokoh Maal Hijrah 2013 kini dalam rangka jelajah ceramah umumnya di beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, kehadirannya di Malaysia untuk menyampaikan ceramah agama telah didakwa oleh beberapa pihak sebagai menggugat ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain.

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan pembatalan syarahannya bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ di Melaka, Ahad ini, agar tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan membenarkan Dr Zakir meneruskan ceramahnya itu yang dijadualkan di Universiti Teknikal Malaysia (UteM) di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya.

Pengasas Islamic Research Foundation (IRF) itu, yang merupakan seorang doktor perubatan, sering menyampaikan ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *