KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes anak tidak sah taraf orang Islam ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata pada masa ini, JPN menjalankan tugasnya selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang tidak membenarkan anak-anak tidak sah taraf dibinkan atau dibintikan dengan nama lelaki yang mengaku sebagai bapanya.

“Kita tahu hukum tetap hukum. Kementerian Dalam Negeri khususnya JPN patuh kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Oleh kerana itu, kita merayu semula kepada mahkamah yang lebih tinggi agar keputusan itu (Mahkamh Rayuan) dibatalkan kerana anak-anak yang sah taraf sahaja yang dibolehkan dibinkan dengan bapanya.

“Namun dalam keadaan ini kita menghormati anak-anak itu yang dilahirkan tidak berdosa. Anak-anak dilahirkan seperti kain putih ibu bapanya yang mencoraknya dengan pelbagai warna,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra Aidilfitri Malabari di Selayang dekat sini, malam tadi.

Dalam hal ini, beliau berkata umat Islam perlu bersatu untuk memastikan mana-mana keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dicabar oleh mana-mana pihak atau sistem perundangan lain.

Pada Khamis, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Pada Jumaat pula, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli dilaporkan berkata bahawa sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh dan sebarang tindakan yang dilakukan oleh JPN sekarang adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga meminta pihak Peguam Negara mewakili Kerajaan Persekutuan membawa kes itu untuk rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan, dan dibahas secara holistik bagi mempertimbangkan kes tanpa sekali-kali membelakangi hukum dan prinsip Islam yang menjadi teras negara selama ini, sebagaimana yang terpateri kukuh di dalam Perlembagaan.

Ahmad Zahid berkata walaupun berbeza pandangan politik dan mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan profesyen, umat Islam di negara ini perlu bersatu dalam mempertahankan hal ehwal dan hukum agama Islam.

“Oleh yang demikian, jika ada pihak di luar sana atau di dalam yang mahu memecah-belahkan kita, kita mesti bersatu.

“Bukan untuk menentang agama lain, tetapi jangan campur hal ehwal agama Islam, biar orang Islam yang menguruskan hal ehwal Islam,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Gabungan Persatuan Malabari Malaysia yang akan digunakan untuk membangunkan sebuah dewan serbaguna di Kompleks Surau Malabar Hidayatul Islam Selayang.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Gabungan Persatuan Malabari Malaysia Datuk Seri Mustaffa Abd Rahman.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *