Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji pendekatan UMNO Terengganu menyelesaikan masalah dalaman parti itu hingga ia kini kembali bersatu dan teguh.

Mengambil contoh tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang terus menyokong kepimpinan UMNO Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meskipun terdapat perselisihan faham, Ahmad Zahid berkata langkah itu tepat demi kepentingan parti.

“Kita tahu bahawa walaupun beliau (Ahmad) dihujani pelbagai masalah dalam politik, saya ucapkan terima kasih kepada rakan kita Datuk (Seri) Ahmad Said yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Ahmad Razif.

“Semangat kekitaan ini yang kita kena kukuhkan. Kita harus ketepikan permasalahan titik bengik yang ada di kalangan kita, di negeri atau bahagian-bahagian (demi kepentingan parti),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan-cawangan peringkat Negeri Terengganu di sini yang turut dihadiri Ahmad Razif dan barisan kepimpinan UMNO Terengganu yang lain.

Sebelum ini, krisis dalaman UMNO Terengganu dilaporkan tegang selepas Ahmad yang juga bekas Menteri Besar dengan lantang mengkritik pentadbiran Ahmad Razif menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap UMNO negeri.

Bagaimanapun, isu tersebut dilihat selesai selepas Ahmad Razif dilihat memeluk mesra Ahmad ketika hadir pada majlis perkahwinan anak lelaki Ahmad pada Feb lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata setiap kepimpinan UMNO perlu mempunyai daya juang, daya tahan dan daya saing untuk mempertahankan parti, bangsa Melayu dan agama Islam tanpa mengenepikan agama lain.

“Ia boleh diibaratkan seperti ini : Mana ada pokok yang paling tinggi tidak dipanah petir atau rumah di tepi pantai yang tidak dilambung ombak. Pemimpin perlu istiqamah dan wajib menghadapinya.

“Walaupun saya tahu di bahagian-bahagian ada masalah tetapi demi kemenangan UMNO, ketepikan masalah itu dan saya yakin apabila pemimpin-pemimpin UMNO melakukan itu, kekuatan UMNO Terengganu dapat diterjemahkan semula,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *