Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8), di Istanbul, Turki, Jumaat ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini, berkata Ahmad Zahid dijadual menyampaikan kenyataan negara semasa sidang kemuncak itu.

“Timbalan Perdana Menteri juga dijadual memperkenalkan Datuk Ku Jaafar Ku Shaari pada sidang kemuncak kesembilan D-8, sebagai Setiausaha Agung D-8 yang baharu dan akan memulakan tugas pada 1 Januari 2018,” katanya.

Ku Jaafar adalah bekas Duta Malaysia ke Mesir, Brunei dan Qatar bakal menggantikan Dr Seyed Ali Mohammad Mousavi, yang sudah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung D-8 selama empat tahun, kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin-pemimpin negara anggota di luar sidang kemuncak, bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan bersama.

Bertemakan “Mengembangkan Peluang Menerusi Kerjasama”, sidang kemuncak kali ini juga adalah bersempena ulang tahun ke-20 D-8 yang ditubuhkan sejak 1997.

Wisma Putra berkata, pemimpin-pemimpin dijangka membincangkan dan mengkaji semula kemajuan dan pencapaian perkongsian selama dua dekad itu.

“Pemimpin-pemimpin juga akan mencarta hala tuju kerjasama ekonomi untuk dekad akan datang dalam enam perkara utama – kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana; pertanian dan keselamatan makanan; pengangkutan; tenaga: mineral dan pelancongan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pemimpin-pemimpin dijangka mengguna pakai dua dokumen rumusan sidang kemuncak itu, Deklarasi Istanbul dan Pelan Tindakan Instanbul D-8.

Wisma Putra berkata, Deklarasi Istanbul mengulangi komitmen negara anggota ke arah matlamat D-8 dan kerangka kerjasama dalam mencartakan hala tuju strategik D-8 pada masa hadapan.

“Pelan Tindakan Istanbul D-8 menyenaraikan langkah-langkah dan inisiatif yang akan diambil dalam jangka masa pendek, pertengahan dan panjang untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan pembangunan dalam kalangan negara anggota, kata Wisma Putra.

D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki sebagai mekanisme untuk kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *