Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal menyertai Raja-raja, presiden dan perdana menteri di pentas diplomatik terbesar di dunia – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan bangsa Bersatu dalam lawatan kerja ke bandaraya kosmopolitan ini yang mempunyai penduduk lebih 8.5 juta orang ke perhimpunan tahunan itu dari 17 hingga 25 September.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata Timbalan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada semasa sesi Debat Umum pada 24 September.

Beliau juga dijadual menyertai Mesyuarat peringkat Tinggi Menangani Penghijrahan Pelarian dan Migran Berskala Besar pada 19 Sept di Perhimpunan Agung, dan Mesyuarat peringkat Tinggi mengenai Situasi di Syria di Majlis Keselamatan pada 21 September.

Satu kenyataan PBB berkata ini kali pertama Perhimpunan Agung mengadakan sidang kemuncak di peringkat ketua negara dan kerajaan mengenai pergerakan berskala besar pelarian dan migran, menyediakan peluang bersejarah untuk mengemukakan rangka tindakan bagi tindak balas antarabangsa yang lebih baik.

PBB berkata para pemimpin dunia dijangka menerima pakai deklarasi politik sebagai dokumen hasil perhimpunan itu yang akan menyaksikan PBB mempunyai  tambahan agensi baharu di bawahnya iaitu agensi migrasi.

Para pemimpin PBB dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dijangka memeterai perjanjian untuk secara rasmi menjadikan IOM sebagai sebuah agensi berkaitan di bawah sistem PBB.

IOM, sebuah pertubuhan antara kerajaan yang mempunyai lebih 9,500 kakitangan dan 450 pejabat di seluruh dunia, telah membantu kira-kira 20 juta migran pada  2015.

Semasa lawatan kerja ke New York, Ahmad Zahid akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan para pegawai kanan dari Pejabat Timbalan perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dijadual tiba pada Sabtu malam di New York yang waktunya 12 jam lewat daripada Malaysia.

Kenyataan itu berkata tema sesi Debat Umum tahun ini ialah “Matlamat Pembangunan Mampan: Usaha Global Untuk Mentransformasi Dunia”.

“Malaysia akan bekerjasama dengan anggota-anggota PBB yang lain untuk menyokong usaha-usaha ke arah mencapai matlamat di bawah tema ini.

“Malaysia juga akan terus menyokong peranan utama PBB sebagai landasan pelbagai hala yang paling konstruktif ke arah mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Kementerian Luar.

Ahmad Zahid dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di sela-sela UNGA ke-71 untuk membincangkan perkara-perkara kepentingan bersama.

Sementara itru, Anifah pula dijadual menghadiri Mesyuarat peringkat Menteri Pasukan Penyiasat Bersama bagi MH17 pada 20 Sept dan Mesyuarat peringkat Menteri Kumpulan Rakan Pakatan Ketamadunan PBB (UNAOC) pada 23 Sept.

Anifah dijadualkan menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkaitan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Komanwel (CFAMM) dan acara-acara lain yang diadakan di sela-sela UNGA ke-71.

Beliau juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatannya bagi membincangkan perkara-perkara kepentingan bersama.

Kawalan keselamatan diperketatkan semasa para pemimpin dunia berkumpul di bandaraya ini dengan anggota keselamatan menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan seperti Times Square dan kawasan sekitar ibu pejabat PBB di New York.

Penutupan jalan semasa perhimpunan PBB telah diumumkan sebelumnya dan warga  New York perlu mencari cara terbaik untuk memandu di tengah-tengah trafik dan mengelakkan kesesakan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *