Kerajaan Johor menerusi Tourism Johor akan meneruskan misi galakan pelancongan ke tiga negara tahun ini sebagai usaha mengetengahkan produk dan perkhidmatan pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata misi menerusi program ‘Xplore Johor’ itu dirancang ke Jakarta di Indonesia, Bangkok di Thailand serta sebuah bandar raya di China.

“Kami merancang misi ke Jakarta itu diadakan pada bulan Julai sebelum diikuti dua bandar raya lain (Bangkok dan China) yang kini sedang dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada Media, di sini, baru-baru ini.

Tee berkata Xplore Johor yang dimulakan sejak 2014 menerusi misi galakan pelancongan di dalam negara dan antarabangsa dilihat mampu membawa impak positif ke arah peningkatan pelancongan negeri ini.

Beliau berkata program itu juga banyak membantu pemain industri dan ejen pelancongan negeri ini bertukar maklumat serta mengadakan padanan perniagaan dengan pemain industri dan ejen pelancongan antarabangsa menerusi platform Travel Mart.

“Setakat ini, kita (kerajaan Johor) akan mengekalkan program Xplore Johor seumpama ini kerana diyakini dapat membantu mempromosikan produk pelancongan negeri ini.

“Kami akan tumpukan misi ini di bandar atau bandar raya yang mempunyai penerbangan terus dari Johor Bahru atau penerbangan sewa khas,” katanya.

Tee berkata, Xplore Johor di dalam negara sudah diadakan di Perak, Pulau Pinang, Kuala Kumpur, Sabah dan Sarawak.

Bagi luar negara pula, ia sudah diadakan di Guangzhou (China), Bangalore (India), Batam (Indonesia), Jogjakarta (Indonesia), Manila (Filipina), Nay Pyi Taw (Myanmar), Ho Chi Minh (Vietnam), Phuket dan Phi-Phi (Thailand), katanya.

Dalam perkembangan lain, Tee berkata pihaknya juga akan terus menggiatkan usaha mempromosikan industri pelancongan kesihatan di negeri ini kepada pelancong asing.

Beliau berkata ketika ini terdapat 12 institusi perubatan dan hospital di Johor yang menawarkan pelancongan kesihatan dengan kos perubatan rendah berbanding negara jiran. Katanya kebanyakan pelancong yang mendapatkan perkhidmatan dan rawatan di negeri ini adalah Indonesia, China, Vietnam dan Thailand.

“Terdapat satu atau dua hospital baharu sedang dirancang dibina di kawasan Iskandar Malaysia yang membuatkan kami yakin pelancong terus memilih hospital di negeri ini bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *