Pelaksanaan sepenuhnya sistem kutipan tol eletronik (ETC) di 19 plaza tol terakhir di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 hari ini menjadi titik tolak kepada permulaan baharu sistem kutipan tol yang lebih efisien di negara ini.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata selepas peralihan daripada sistem kutipan tunai kepada ETC, Malaysia dijangka mengorak selangkah lagi dengan melaksanakan Aliran Tol Tanpa Henti (MLFF) secara berperingkat bermula 2020.

“Pelaksanaan sepenuhnya sistem ETC ini merupakan permulaan kepada era baharu kepada kutipan tol di negara ini kerana selepas ini kita akan melangkah kepada sistem yang lebih canggih dengan melaksanakan kutipan tol tanpa kewujudan plaza tol atau MLFF.

“Kita masih dalam peringkat melantik konsultan bagi melakukan kajian yang teliti kerana apabila dilaksanakan nanti,  tiga cabaran terpaksa dihadapi termasuk perubahan dan pindaan undang-undang. Ini kerana apabila tiada halangan (palang), kita juga perlu pastikan ada pelan untuk pengguna yang tiada pelekat kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelaksanaan 100 Peratus ETC LPT di sini. Turut hadir Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein.

Selain itu, katanya, pelaksanaan MLFF  juga memerlukan pelaburan besar jika hendak dilaksanakan serentak di semua 177 plaza tol di seluruh negara.

“Sehubungan itu, ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan sekurang-kurangnya satu lorong di setiap plaza tol agar ia tidak menjejaskan syarikat konsensi yang terlibat,” jelas beliau.

Ismail berkata, pihaknya juga berhadapan cabaran untuk mewujudkan kesedaran kepada pengguna lebuh raya tentang kebaikan sistem penggunaan sistem itu agar mereka lebih bersedia untuk menerima sebarang perubahan.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak lapan plaza tol di negara ini mula melaksanakan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) pagi tadi dengan melibatkan kenderaan berkecuali seperti polis, ambulans dan bomba.

“Kita akan uji sistem ini terhadap kenderaan berkecuali terdahulu sebelum diperluaskan kepada kenderaan lain, selain melengkapkan semua 177 plaza tol di seluruh negara dengan sistem RFID awal tahun depan yang melibatkan kenderaan kelas satu dahulu,” katanya.

Penggunaan RFID merupakan alternatif kepada sistem pembayaran elektronik SmartTag bagi melancarkan aliran trafik di setiap plaza tol lebuh raya di negara ini.

Ia menggunakan pelekat yang mempunyai cetakan kod bar untuk dilekatkan pada cermin kenderaan dan lebih murah berbanding Smart Tag.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *