IPOH, Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan platform yang disediakan kepada golongan belia untuk bersama kerajaan dalam memajukan negara, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.

Beliau berkata, pendekatan melalui TN50 lebih terbuka dan sama sekali berbeza dengan Wawasan 2020 yang dilihat bersifat mahu rakyat untuk menerima dan merealisasikannya mengikut acuan ditetapkan.

“Dalam konteks TN50 ini ia lebih mahukan rakyat terutama golongan muda meluahkan buah fikiran, cadangan atau pendapat mereka bagi dikongsi bersama dengan kerajaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam “Sesi Town Hall: Kita Boleh” di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar, pada Sabtu.

Khairul Azwan berkata suara atau idea golongan belia amat penting untuk didengari kerajaan memandangkan mereka merupakan tonggak masa depan yang akan memacu negara dalam era TN50.

“Golongan belia merupakan penentu kepada kejayaan TN50 ini. Walaupun jarak masa masih panjang namun kita selaku golongan belia perlu menggerakkannya dari sekarang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata semua input serta idea yang dilontarkan oleh golongan belia akan dikumpulkan dan dijadikan sebagai kerangka yang mewakili suara serta kehendak mereka.

“Saya dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan kumpul dan analisis setiap idea itu, kemudiannya jika berjalan lancar ia akan kita guna sebagai asas dalam mencapai aspirasi TN50,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *