Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak bermaksud menolak Wawasan 2020, sebaliknya bertujuan memastikan negara terus mencapai matlamat dan sasaran dikehendaki rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ada orang cakap kita tolak Wawasan 2020. Kita tidak tolak. Ini kesinambungan. Selain menggunakan pendekatan lain seperti wacana dan dialog nasional, kita juga hendak wujudkan strategi kebangsaaan dengan adanya pelan pelaksanaan dan pemantauan.

“Ini supaya apabila kita tetapkan TN50 nanti, kita ingin pastikan bagaimana kita boleh capai matlamat yang dikehendaki rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) sewaktu sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Abd Latiff ingin tahu sama ada masyarakat akan menerima TN50 dan dalam soalan asalnya, beliau meminta kerajaan menyatakan strategi diambil dalam memberi kefahaman berhubung TN50.

TN50, yang digagaskan Najib semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Okt tahun lepas, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Menjelaskan perkara itu, Najib berkata TN50 berbeza daripada Wawasan 2020 kerana ia menggunakan proses ‘bottom up’ dan bukan ‘top down’ apabila pandangan melalui wacana, dialog dan medium-medium lain yang diperoleh daripada pelbagai lapisan kaum dan bangsa akan diambil kira untuk merangka TN50.

“TN50 adalah sebuah konsep falsafah dan visi yang lebih luas serta mencakupi segenap segmen dan dimensi dalam kehidupan ke arah membentuk sebuah negara yang lebih berjaya dan disegani.

“Sesungguhnya TN50 merupakan kesinambungan kepada dasar-dasar jangka panjang terlebih dahulu seperti Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 yang membolehkan kerajaan menyediakan hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan, segala sintesis dan pandangan dalam menyediakan dokumen TN50 akan diperoleh dan diperluas kepada golongan wanita, penjawat awam, usahawan, akademik, korporat dan segala yang berkaitan.

Menjawab soalan tambahan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) mengenai impak TN50 kepada golongan pekerja, Najib berkata dialog dengan persatuan pekerja akan diadakan bagi memberi penerangan yang lebih terperinci.

“Sebenarnya kita sudah bela kaum pekerja. Antaranya memperkenalkan dasar gaji minimum yang mengubah untung dan nasib mereka. Selain itu, kita juga akan memberi tumpuan bagaimana kelompok pekerja boleh dibela melalui TN50.

“Ini supaya golongan pekerja akan mendapat faedah seperti latihan meningkatkan kemahiran dan peluang pekerjaan yang menyediakan gaji lebih tinggi,” katanya.

Kepada soalan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) berhubung kekangan dihadapi kerajaan untuk mencapai hala tuju seperti yang ditetapkan sebelum ini, Najib berkata faktor luar seperti kemelesetan ekonomi, harga minyak dan komoditi turut memberi kesan kepada sasaran negara.

“Ini semua di luar kawalan kita. Kita andaikan persekitaran kondusif tetapi jika sebaliknya, ia akan memberi kesan kepada pencapaian. Kita bukan gagal, tetapi berjaya, cuma masih ada ruang yang perlu dipertingkatkan.

“Kalau kita kurangkan politiking, lebih mudah kita capai matlamat. Kita akui ada kelemahan tetapi kita tidak gagal. Kita tetapkan sasaran dan ia mesti agresif dan pro ambitious,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *