BERA, Tindakan Kamarul Azman Habibur Rahman selaku antara pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar parti itu semalam jelas membuktikan PPBM tidak mempunyai matlamat dan perjuangan yang jelas, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dijangkakan lebih ramai anggota parti itu akan berbuat demikian selepas ini.

“Asas penubuhan parti itu sendiri kabur berbeza dengan UMNO misalnya yang mempunyai perlembagaan jelas untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan sebagainya.

“Parti-parti lain seperti PAS pun ada nas dan asas perjuangannya sebab itu parti itu kekal lama. Kalau parti serpihan berasaskan kepentingan peribadi ini sudah tentu ahli-ahlinya tidak akan berasa yakin dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Kamarul Azman itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak di sini, pada Khamis.

Semalam Kamarul Azman mengumumkan keluar PPBM dan melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Setiausaha Kerja kerana sudah hilang kepercayaan terhadap dasar perjuangan PPBM yang dilihat semakin terpesong ditambah lagi dengan sikap pemimpinnya yang didakwanya memandang anggota parti mengikut ‘darjat’ dan ‘kasta’.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *