Kecoh sebelum ini apabila tular di media sosial berkaitan perniagaan yang mempromosikan jantina rekaan.

Menjawab perkara tersebut, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, apa sahaja produk yang mempunyai unsur bertentangan fitrah, perlu ditolak oleh masyarakat waras.

“Sesiapa yang membantu mempromosikan jenama apa sahaja produk ‘jantina rekaan’ yang menyanggahi fitrah insan yang rasional, sesungguhnya dia telah membantu kemungkaran dan dosa,” katanya menerusi status di Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Menurutnya, fitrah manusia  waras hanya mengiktiraf dua jenis jantina itu lelaki dan perempuan.

“Jika ada yang khunsa maka itu dianggap kes terpencil yang diiktiraf dengan syarat-syaratnya. Demikianlah pendirian Islam sebagai agama yang selaras dengan fitrah manusia yang normal.

“Adapun jantina rekaan ataupun yang diada-adakan atas apa nama sekalipun seperti pondan, mak nyah, darai, pengkid, ataupun apa sahaja, kesemuanya ditolak oleh insan yang waras. Ini kerana ia ditolak oleh fitrah manusiawi yang sejahtera. Demikian ia ditolak oleh agama yang berdiri teguh atas fitrah insani waras,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, sekiranya wujud kekeliruan jantina maka, ia perlu dirujuk kepada pakar bidang berkaitan bukan kepada ‘kecelaruan diri’.

Justeru, Mohd Asri meminta supaya menolak semua karya seni, filem, produk makanan, barangan dan apa sahaja yang mempromosikan jantina tidak diiktiraf.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai perniagaan nasi lemak yang diusahakan seorang lelaki menggunakan nama Nasi Lemak Pondan.

Disebabkan nama nasi lemak tersebut, ia turut mendapat perhatian beberapa agensi media yang turut melaporkan kisah tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *