Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan hujah pembangkang bahawa tiada langsung pembangunan diusahakan kerajaan sepanjang tujuh tahun beliau menjadi perdana menteri adalah “tidak lebih daripada kata-kata kosong” dan “sengaja buat-buat tidak nampak”.

Sambil menyangkal tuduhan itu, perdana menteri berkata pentadbiran beliau telah menjalankan pelbagai pembangunan yang mencipta beratus ribu peluang pekerjaan.

“Banyak pembangunan infrastruktur yang telah dijalankan dalam masa yang hanya tujuh tahun pertama pentadbiran saya, dan memangkinkan ekonomi negara secara berterusan.

“Kepada pembangkang, janganlah bersikap seperti katak di bawah tempurung,” katanya dalam catatan terkini dalam blog rasminya.

Najib turut menyelar sikap pembangkang yang sengaja membandingkan beliau dengan kepimpinan lama.

Kata perdana menteri, antara projek pemangkin ekonomi berlandaskan pembangunan secara besar-besar yang telah dilaksana kerajaan di bawah pentadbiran beliau termasuk projek Transit Aliran Massa (MRT), Lebuhraya Pantai Timur 3, Pan Borneo Highway, Projek Transit Aliran Ringan 2 dan 3 dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Projek-projek seperti ini penting bagi menjana ekonomi di kawasan sekitar dan merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dan bandar,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut membangunkan projek pembangunan Wilayah Iskandar, Rapid Pengerang, Danga Waterfront, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, serta KL118 yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Malaysia.

Di peringkat antarabangsa pula, Najib berkata, Malaysia berperanan membangunkan projek seperti pembangunan Battersea, sebuah lagi mercu tanda ikonik di kota London.

“Yang aneh, ada yang kata bangunan-bangunan seperti Tun Razak Exchange dan KL118, tidak ada satu tiang pun dibina. Saya saran pergilah lihat sendiri tapak pembinaan tersebut sebelum melontarkan tuduhan yang memalukan diri.

“Lihatlah sendiri di internet projek (Battersea) yang mengharumkan nama negara ini,” kata Najib.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *