Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu terhadap seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas kesalahan rasuah pada 2015.

Omar Mohd Bahari, 57, yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Kuching, juga dijatuhi hukuman penjara 14 hari selepas dia menukar pengakuan bersalah apabila kes itu dibaca semula, hari ini.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu selepas Omar mengaku bersalah menerima wang suapan sebanyak RM1,750 daripada pengadu pada 27 Julai, dua tahun lalu.

Mengikut fakta kes, Omar didakwa menerima wang itu menerusi transaksi pemindahan bank sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap 11 premis perniagaan yang dikendalikan oleh pengadu yang menjual cakera padat video (VCD) dan calera padat digital (DVD) cetak rompak di Sibu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Omar menerusi peguamnya, Osman Ibrahim mengaku bersalah dengan alasan dia sudah bertaubat, sudah tua dan mengalami masalah kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Low Chin How mencadangkan agar Mahkamah untuk melaksanakan hukuman setimpal kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

Pada 26 Mei lalu, Omar juga didakwa dengan dua tuduhan lain kerana menerima wang suapan dalam jumlah sama dan daripada pengadu sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Jun dan 7 Julai 2015, namun kedua-dua tuduhan itu sudah ditarik balik.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *