PERMAISURI, Kerajaan negeri akan mewujudkan konsortium menggabungkan beberapa anak syarikatnya, sebagai langkah menjimatkan kos pengurusan dan meningkatkan kecekapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri akan menstruktur semula beberapa anak syarikat dalam sektor perladangan, perhotelan dan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, Kumpulan TDM Berhad; Golden Pharos Berhad (Golden Pharos) dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Ladang Rakyat) antara yang akan terbabit dalam penstrukturan semula itu.

Katanya, dengan penstrukturan baru itu, TDM akan digabungkan bersama-sama Golden Pharos dan Ladang Rakyat untuk memberi fokus dalam sektor perladangan.

“Sektor penjagaan kesihatan yang turut menjadi antara cabang utama TDM akan dikeluarkan dan digabung di bawah satu konsortium lain yang akan turut menggabungkan Kuala Terengganu Specialist (KTS) dan Kuantan Medical Centre (KMC),” katanya selepas melancarkan Akademi TDM di Sungai Tong di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan TDM, Datuk Mohamat Muda; Pengerusi TDM Berhad, Mohd Iskandar Jaafar dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor.

Beliau berkata, bagi sektor perhotelan pula akan diletakkan di bawah konsortium Terengganu Inc Hotel & Resort, yang menggabungkan pengurusan lima hotel kerajaan negeri iaitu Hotel Primula; Hotel Permai; Duyong Marina & Resort; Hotel Paya Bunga dan hotel baru di Tasik Kenyir.

Sementara itu, pada majlis perasmian Projek Tanaman Nangka di Kampung Pelung di sini, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta di bawah skim siswazah menganggur.

“Melalui skim ini, siswazah menganggur yang berminat untuk menjalani latihan dalam bidang pertanian akan dibayar elaun sebanyak RM1,000 sebulan.

“Kerajaan negeri bersetuju menyediakan elaun latihan bekerja selama enam bulan dan kemudahan itu akan disambung selama enam bulan lagi berdasarkan prestasi,” katanya.

Beliau berkata, siswazah yang menunjukkan minat dan prestasi membanggakan ketika menjalani latihan itu akan diberi tanah seluas 0.8 hektar oleh kerajaan negeri bagi membolehkan peserta mengusahakan projek pertanian.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *