KUALA NERUS, Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama dalam apa jua bentuk bagi menjayakan projek rumah untuk generasi kedua Felda di Rancangan Felda Belara di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebanyak 79 unit rumah untuk 79 keluarga generasi kedua Felda Belara akan dibangunkan seperti projek di Chalok, Setiu yang telah dilaksanakan Syarikat Perumahan Malaysia Berhad (SPMB).

“Rumah sebuah-sebuah itu akan dibina di atas tanah kepunyaan Felda, manakala pembinaannya akan dilaksanakan oleh SPMB dengan bayaran secara ansuran bulanan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan Felda Belara di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu dijangka akan bermula tahun hadapan dan majlis pecah tanah akan dilaksanakan pada Februari ini serta dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Katanya sudah sampai masanya rumah untuk generasi kedua golongan itu dibina di situ kerana ia sudah lama dirancang, tetapi belum dapat dilaksanakan hingga kini.

Ahmad Razif turut menyarankan kepada Felda agar melaksanakan transformasi berikutan pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus sedang giat dijalankan di sekitar kawasan Felda Belara.

“Kita juga mahu Felda di situ membangun seiring dengan kepesatan pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus kerana apabila ia dilaksanakan, akan menyediakan peluang pekerjaaan kepada anak-anak Felda itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberi amaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memilih pemaju yang akur serta patuh pada peraturan yang ditetapkan dalam pembangunan sesuatu projek.

Ahmad Razif berkata ketika ini, kerajaan negeri sedang menyiapkan dua projek sistem perparitan iaitu di Bandar Baharu Kuala Nerus dan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mengelakkan banjir kilat berlaku di kawasan itu, melibatkan peruntukan RM85 juta.

Katanya sistem perparitan yang sedang dibina sepanjang kira-kira 7.5 km dari Baruh Tok Jiring ke Sungai Nerus itu dijangka siap tahun hadapan dan dijangka mampu menyelesaikan masalah perparitan di kawasan terlibat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Wan Jaafar yang menegur kerajaan negeri dan PBT yang meluluskan projek pembangunan tanpa mengikut peraturan sehingga sesetengah kawasan mengalami banjir seperti di Gong Badak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *