KUALA NERUS, Sambutan Tahun Baru 2018 di Terengganu disambut penuh rasa syukur melalui pelbagai acara berbentuk Islamik berlangsung sebelum dan selepas detik 12 tengah malam tadi.

Sambutan yang bermula kira-kira jam 9 malam di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, dibuka dengan bacaan doa dan persembahan nasyid, sebelum diteruskan dengan ceramah daripada wakil Aman Palestin Malaysia, Hasimah Salleh.

Acara kemudian diteruskan dengan penyerahan replika cek oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebanyak RM500,000 hasil sumbangan kerajaan negeri kepada Aman Palestin Malaysia.

Hadirin yang hadir kemudian berpeluang mendengar forum bertajuk Keharmonian Satu Keberkatan daripada dua ahli panel yang dijemput khas iaitu penceramah terkenal Roslan Mohamad dan Zul Ramli Mohamad Razali, yang dikendalikan moderator, Nabil Ahmad.

Bermula lima minit terakhir sebelum 12 jam tengah malam, hampir 1,000 hadirin berselawat beramai-ramai.

Sebaik tiba detik 12 tengah malam, jemaah yang hadir kemudiannya menunaikan solat hajat beramai-ramai bagi memohon keselamatan negeri dan negara, selain memohon pembebasan daripada kezaliman yang berlaku di negara Islam lain.

Solat hajat dan doa bagi penutupan sambutan ambang tahun baru itu diimamkan Penolong Pesuruhjaya II Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Muhammad Ash Shafie Abd Manan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *