Spring Airlines dari China dengan kerjasama Malaysia Airlines (MAS), akan memulakan operasi penerbangan ke Shenzhen dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, mulai 13 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata operasi penerbangan sewa khas dua kali seminggu pada setiap Isnin dan Jumaat itu disediakan bagi memenuhi permintaan kemasukan  pelancong dari China yang semakin meningkat.

“Perkhidmatan penerbangan ke Shenzhen diperkenalkan berikutan sambutan  positif daripada perkhidmatan Johor Bahru-Guangzhou yang dikendalikan AirAsia, Mei tahun lepas.

“Perkhidmatan ini merupakan penerbangan kedua yang menghubungkan Johor dengan China, dan kita menjangkakan peningkatan dari segi jumlah pelawat dan pelancong China ke Johor pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Tee berkata penerbangan dari Shenzhen ke Johor Bahru berlepas pada 6.50 petang dan tiba pada 10.40 malam, manakala dari Johor Bahru ke Shenzhen pada 11.40 malam dan tiba pada 3.50 pagi keesokan hari.

Dalam pada itu, Tee berkata selain Shezhen, AirAsia juga akan memulakan penerbangan Johor Bahru-Jakarta bermula 12 Januari ini dengan kekerapan penerbangan tiga kali seminggu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

Beliau berkata penerbangan dari Jakarta ke Johor Bahru berlepas pada 8.50 malam dan tiba pada 11.40 malam manakala dari Johor Bahru ke Jakarta pada 7.30 malam dan tiba pada 8.20 malam.

Menurut Tee, penerbangan berkenaan akan meningkatkan kemudahan kepada pelancong Johor dan Jakarta, yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak dari segi pelancongan dan perdagangan.

“Perkhidmatan ke Shenzhen dan Jakarta adalah bertepatan dengan kedudukan asa kini memandangkan Indonesia dan China merupakan antara tiga pasaran utama bagi pelancongan negeri Johor.

Katanya kerajaan negeri dengan kerjasama LTAS akan terus memastikan Johor ke arah hab pengangkutan udara yang penting dan signifikan di selatan negara ini.

LTAS kini mengendalikan 14 laluan penerbangan yang terdiri daripada tujuh penerbangan domestik dan tujuh penerbangan antarabangsa.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *