Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tapai, Jagung Dan Ubi Rebus Menu Sarapan Pagi TPM Di Pasar Tamu

Tapai, Jagung Dan Ubi Rebus Menu Sarapan Pagi TPM Di Pasar Tamu

KOTA MARUDU, Tapai nasi dibalut daun keladi, jagung dan ubi rebus antara juadah sarapan dijamah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika turun padang di pasar tamu mingguan pekan Kota Marudu, pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri membeli dan mencuba sebungkus tapai nasi yang dibalut dengan daun keladi ketika melakukan tinjauan mesra di pasar tamu sebelum menjamah jagung dan ubi rebus di gerai Sri Rezeki, di sini.

Peniaga tapai, Jainab Atoh, 60, berkata Ahmad Zahid yang singgah di gerainya, dekat tepi jalan di pasar tamu pekan ini memuji keenakan tapai nasi dibuatnya.

“Sedap dia bilang (beritahu), manis (tapai nasi)… saya gembira Timbalan Perdana Menteri singgah di gerai saya. Terkejut juga sebab ini pertama kali saya jumpa orangnya,” katanya.

Pengusaha gerai makanan dan minuman Sri Rezeki, Saniah Achil, 63, berkata Ahmad Zahid menggemari jagung dan rebus yang dihidangkan di gerainya.

Katanya, jagung yang menjadi identiti pekan ini dan ubi kayu adalah hidangan sarapan yang biasa dijualnya sejak membuka gerai Sri Rezeki kira-kira tujuh bulan lalu.

“Saya rasa bertuah Timbalan Perdana Menteri datang bersarapan di gerai saya hari ini. Saya hanya dimaklumkan bahawa beliau akan datang ke pekan ini kelmarin dan dijadualkan singgah di tamu dan gerai saya.

“Saya sudah membuat persiapan menyediakan sarapan sejak jam 6 pagi tadi. Ini satu sejarah bagi saya dan sangat berterima kasih kerana Timbalan Perdana Menteri sudi singgah,” katanya.

Ahmad Zahid yang tiba di pekan ini pada jam 9 pagi tadi meluangkan masa kira-kira sejam menemui peniaga dan pengunjung di tamu mingguan pekan Kota Marudu.

Beliau diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Ketua UMNO Kota Marudu, Datuk Wetron Bahanda.

BHOnline

Leave a Reply

Top