Share on Facebook

Tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ramai antara kita yang mampu melancong ke luar negeri khususnya ke Eropah, namun jangan berasa terkilan kerana negara kita mempunyai banyak destinasi yang menawarkan pengalaman melancong ke rantau berkenaan.

Antaranya ialah Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang yang kini semakin mendapat perhatian dan menjadi destinasi yang mesti dikunjungi jika ke sana.

Pengurusnya Nordin Mad Ali berkata taman kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkeluasan 12.3 hektar itu menerima kira-kira 400,000 pelawat setakat ini bagi tahun ini.

Bagi memastikan taman yang menawarkan produk agropelancongan itu terus mendapat tempat di hati pelawat, Nordin berkata pihaknya berusaha mengadakan tarikan baharu dengan yang terkini menjadikan ‘Rose Garden’ atau Taman Ros sebagai taman bunga mawar yang mempunyai nilai perubatan.

“Kita akan menawarkan ‘black rose’ (ros hitam) sebagai antara produk agro baharu di taman ini tahun depan,” dipetik sebagai berkata.

Beliau ditemui bersempena program ‘Road to Agro-Tourism’ siri kedua ke Zon Tengah meliputi kawasan Kuala Kangsar, Perak dan Cameron Highlands di Pahang dari 12 hingga 14 Dis lepas.

Program anjuran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) itu dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertujuan mempromosikan destinasi agropelancongan domestik menerusi enam siri yang bermula di Zon Selatan pada September lepas.

Nordin berkata ketika ini Taman Inggeris menjadi lokasi kegemaran pengunjung yang mengambil peluang merakam gambar kenangan selain kebun dan Cafe Strawberi, ladang teh, kilang teh, petak fertigasi, pusat jualan serta taman karavan bagi mereka yang melancong menggunakan karavan.

“Konsep Inggeris itu dihidupkan menerusi landskap yang dilengkapi antaranya pergola, kincir angin, pancuran air serta pelbagai spesies bunga yang berwarna-warni. Suhu nyaman 15 hingga 24 darjah Celsius pula membangkitkan suasana seolah-olah berada di negara beriklim sejuk,” katanya.

Bayaran tiket yang dikenakan pula sangat berpatutan iaitu RM5 bagi dewasa, RM3 untuk kanak-kanak, RM2 bagi warga emas dan percuma untuk golongan kelainan upaya.

MARDI mempunyai lima taman agroteknologi di seluruh negara termasuk di Cameron Highlands ini dengan masing-masing mempunyai ciri tersendiri namun masih berfokus kepada tujuan utama iaitu memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang penanaman buah-buahan, sayur-sayuran selain menampilkan keindahan flora dan fauna.

BERNAMA

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *