Penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat hari ini mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO berkuat kuasa serta merta.

Selain jawatan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, beliau turut melepaskan tiga lagi jawatan iaitu Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Pancor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Pancor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO.

Peletakan jawatan itu diumumkan menerusi Facebook rasminya, Syamsul Amri Ismail Official kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Syamsul yang dihubungi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil tanggungjawab terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Keputusan ini yang terbaik untuk memberi peluang kepada ramai lagi ahli UMNO memegang jawatan itu dan membawa perubahan kepada parti sekali gus mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

“Namun, saya masih bersama UMNO dan sentiasa bersedia memberikan pendapat atau pandangan sekiranya diperlukan sebagai tanda persahabatan serta semangat silaturahim,” katanya.

Syamsul yang juga penceramah bebas berkata, keputusan itu turut mengambil kira kesibukan tugas hariannya sebagai penceramah selain mahu menumpukan perhatian kepada Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM).

“Saya sudah lama tidak bergiat aktif di dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerana terlalu sibuk. Selepas ini, saya boleh kembali fokus,” katanya.

Pada PRU14, selaku calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Syamsul tewas kepada calon PKR, Aminuddin Harun, yang kini menjadi Menteri Besar.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *