Anda di sini!
Utama > Belia > Sukarelawan IPT Digalak Bantu Mangsa Banjir

Sukarelawan IPT Digalak Bantu Mangsa Banjir

BESUT, Sukarelawan daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) digalakkan turun padang bagi membantu mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan dengan mendapat kebenaran daripada pihak universiti masing-masing terlebih dahulu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata bagaimanapun, penyertaan pasukan sukarelawan IPT tidak boleh bergerak secara sendirian tetapi perlu mendapatkan kerjasama daripada Jawatankuasa Gerakan Banjir Daerah dan pihak keselamatan seperti polis dan tentera.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan penyertaan pelajar dalam kerja-kerja sukarela seperti memindah mangsa banjir, mengagihkan makanan dan membersihkan pusat pemindahan tetapi mereka perlu memastikan kesihatan atau keselamatan mereka dijaga.

“Kementerian tidak menggalakkan sekiranya penyertaan pelajar IPT dalam kerja-kerja sukarelawan dalam membantu mangsa banjir boleh menyebabkan mereka menghadapi risiko, ” katanya kepada media selepas merasmikan majlis bertindik membabitkan 23 anak mangsa banjir berumur 6 hingga 12 tahun di Pusat Pemindahan Bencana Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 11 di sini hari ini.

Menurut Idris yang juga Anggota Parlimen Besut, setiap universiti mempunyai gerakan sukarelawan masing-masing tetapi kebanyakannya menjalankan kerja-kerja sosial di peringkat universiti sahaja.

Sementara itu, ketika melawat mangsa banjir di PPS SK Tembila, Idris mengesahkan semua pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila Besut yang tinggal di rumah-rumah sewa dan di asrama selamat daripada ancaman banjir.

Katanya, pelbagai langkah telah diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah (JPBBD) bagi mengatasi sebarang masalah yang dihadapi pelajar dalam menghadapi ancaman banjir.

Katanya, antara langkah segera yang diambil JPBBD ialah membersihkan longkang-longkang yang tersumbat bagi mengalirkan air banjir di sekitar rumah sewa pelajar UniSZA di Tembila.

“Saya berharap ibu bapa pelajar tidak gusar akan keselamatan anak masing-masing kerana keadaan banjir yang berlaku pada Selasa lepas dan semalam tidaklah bahaya seperti ditularkan di media sosial, ” katanya.

Leave a Reply

Top