KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan pendekatan amat tegas dan agresif dalam operasinya, termasuk menangkap individu yang terlibat dengan rasuah, tanpa gentar dan pilih kasih.

Ketua pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata ini kerana rasuah menjadi pembuka lorong kepada pelbagai jenayah keji lain seperti jenayah rentas sempadan dan pengedaran dadah.

Menurut beliau, akibat rasuah, wanita dan kanak-kanak akan terus diperdagangkan, manakala senjata kecil akan sampai ke destinasi yang boleh mencetuskan keganasan.

“Rasuah bukan jenayah semata-mata. Bertan-tan dadah akan terus sampai kepada penggunanya dan kegiatan penyeludupan serta pencerobohan sempadan akan terus berleluasa,” katanya dalam ucaptama pada Forum Agensi Pencegahan Rasuah ke-8 di sini hari ini.

Dzulkifli berkata perkara paling membimbangkan ialah rasuah akan terus menjadi “pencuri” pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial.

Beliau berkata pelaksanaan mekanisme pemantauan semata-mata tidak mencukupi sekiranya ingin menjadikan usaha kerajaan memerangi rasuah sampai ke peringkat umbinya.

“Bagi saya, semua usaha mulia ini akan gagal tanpa adanya tanggungjawab bersama.

“Sekiranya kita, sebagai warganegara, hanya berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa, maka diri kitalah yang patut dipersalahkan kerana membiarkan rasuah terus menghakis hasil yang telah dicapai melalui demokrasi yang kita perjuangkan dengan begitu bersusah-payah selama ini,” katanya.

Lapan agensi anggota mengambil bahagian dalam forum dua hari itu yang bertujuan memupuk kerjasama dalam kalangan agensi pencegahan rasuah di rantau ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *