KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus kanan syarikat cari gali minyak kerana dipercayai mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi satu projek pada tahun 2015.

Pengurus kanan terbabit yang dilantik mengetuai projek berkenaan, ditahan di pejabatnya di ibu negara.

Turut ditahan dalam operasi berkenaan ialah seorang pengarah sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek itu serta seorang bekas pembantu teknikal syarikat cari gali berkenaan.

Pengarah kanan syarikat kontraktor dan bekas pembantu teknikal itu, ditahan di rumah masing-masing di Batu 9, Cheras dan di Puncak Alam, Selangor.

Ketiga-tiga suspek ditahan antara jam 2.40 dan 3 petang semalam.

Sumber memberitahu, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor itu antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Difahamkan, tuntutan itu sudah dibayar oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit, namun tiada kerja dilaksanakan bagi tuntutan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

“Semua suspek mereka akan direman esok (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *