Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai kira-kira RM550,000 di rumah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) semalam.

Menurut sumber SPRM, wang tunai yang dirampas di rumah Datuk Mohd Arif Ab Rahman itu merupakan mata wang asing British Pound, Euro dan Dolar Singapura.

“Wang tersebut telah disembunyikan oleh salah seorang anak suspek di dalam rumahnya di USJ, Subang Jaya.

“Kita telah merakamkan percakapan anak suspek tersebut yang berusia dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan rampasan wang tunai itu tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kes tersebut.

Tiada tangkapan baharu berhubung kes itu setakat ini.

Wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta telah dirampas dan disita setakat ini oleh SPRM, susulan penahanan Mohd Arif, 59, di kediamannya di USJ, Subang Jaya, dekat sini pada Rabu manakala dua anak lelakinya yang berusia29 dan 34 tahun ditahan semasa diambil keterangan di ibu pejabat SPRM pada Rabu.

KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *