Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima sebanyak 1.56 juta permohonan untuk berkhidmat dengan kerajaan pada tahun lalu, namun hanya 25,046 kekosongan jawatan untuk pelantikan tetap yang ditawarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, berkata jumlah permohonan yang tinggi ini memberi peluang kepada kerajaan untuk memilih hanya calon yang berkualiti.

Katanya, SPA menjalankan tapisan yang ketat dan ketika ini melakukan kaedah pengambilan yang dikenali sebagai MyRecruitment terhadap sebahagian besar skim perkhidmatan bagi memilih calon terbaik.

“Kaedah ini memerlukan calon melalui empat proses saringan iaitu tapisan awal, peperiksaan dalam talian, penilaian kompetensi dan temuduga.

“Calon yang tidak menepati tapisan awal tidak akan dipanggil untuk menduduki peperiksaan dalam talian manakala calon yang tidak melepasi peperiksaan dalam talian tidak akan dipanggil untuk mengikuti penilaian kompetensi dan begitulah seterusnya,” katanya menjawab soalan Datuk William Nyalau (BN-Lubok Antu) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pagi ini.

Mengulas lanjut, Joseph berkata, selain nilai gred kumulatif (CGPA), SPA mahu mencari calon yang berketerampilan, mahu bekerja secara berpasukan, mempunyai nilai kepemimpinan, jati diri dan profesionalisme ketika sesi temuduga.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa ada calon dipilih kerana mempunyai kenalan atau sokongan dari Menteri atau orang kenamaan.

“Melalui saya, tidak ada (isu ini). Tetapi melalui pegawai, kalau dia sembunyikan dari saya, saya tidak tahu.

“Tetapi setahu saya, memang yang kita pilih adalah terbaik. Seperti saya katakan agak senang untuk kita pilih mengisi 30,000 kekosongan ini daripada sejuta lebih yang memohon,” katanya.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *