Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangkang mencemburui solidariti kukuh yang diperlihatkan pada Perhimpunan Agung UMNO, minggu lepas.

Beliau berkata pembangkang kini begitu terdesak dan berada di dalam keadaan kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjarakan pemimpin mereka sendiri.

“Mereka telah mencuba pelbagai cara dalam bidang kuasa mereka untuk memecahbelahkan kita. Tetapi mereka tidak kenal UMNO dan kesetiaan anggotanya iaitu mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya dalam satu catatan di laman blog najibrazak.com, malam ini.

Menurut Najib, pembangkang mungkin tersalah anggap perwatakan Timbalan Perdana Menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti UMNO yang didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan parti atau nasional.

“Saya gesa semua ahli parti UMNO untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik kotor yang digunakan oleh pihak lawan. Mereka mencemburui solidariti kukuh dalam UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *