Share on Facebook

TANGKAK, Inovasi terbaru Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) mampu menyediakan 80 peratus ketepatan maklumat kepada pihak berkuasa untuk bersiap siaga menghadapi bencana itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata penggunaan PRAB dilaksanakan di Kelantan baru-baru ini, berjaya mengurangkan kerosakan harta benda dan menyelamatkan nyawa apabila sistem amaran dikeluarkan lebih awal.

Katanya, penggunaan sistem PRAB boleh menjangka kejadian banjir seminggu lebih awal, berbanding sebelum ini untuk proses ramalan sistem hanya meramal kejadian dalam tempoh dua hari.

“Untuk proses amaran, PRAB membantu pihak berkuasa mengeluarkan amaran dua hari lebih awal berbanding sekarang amaran dikeluarkan dua hingga enam jam sebelum kejadian.

“Projek dibangunkan JPS untuk meningkatkan keupayaan ramalan dan amaran banjir yang dikawal oleh Pusat Ramalan Awal Banjir Negara (PRABN) di bawah jabatan ini,” katanya selepas melancarkan projek menaik taraf Sistem Saliran Parit Haji Othman di Tanjung Agas, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat; ADUN Gambir, Datuk M Asojan; Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin dan Timbalan Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang, berkata fasa pertama PRAB membabitkan RM150 juta sudah dilaksanakan di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Katanya, keseluruhan projek PRAB bernilai RM500 juta di seluruh negara termasuk Johor, Sabah dan Sarawak akan dibangunkan mengikut fasa seterusnya.

“Pelaksanaan PRAB bertujuan memudahkan agensi bertanggungjawab dengan bencana ini dapat menyusun strategi, pemindahan penduduk dengan lebih cekap dan teratur,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *